suria

Mat Sentul dedah rahsia kekal tampan kena makan banyak belacan… JKM Johor hulur bantuan RM500 sebulan

Mat Sentul sihat dan tidak mengalami sebarang sakit kronik. Foto: BERNAMA

SELEPAS tular mengenai kisah hidupnya yang didakwa menderita penyakit kronik baru-baru ini, pelawak veteran Mat Sentul menjelaskan keadaan kesihatannya baik-baik sahaja.

Mat Sentul atau nama sebenar Abdul Rashid Yahya, 88, bagaimanapun berkata dia terpaksa menghadkan pergerakan kerana lututnya tidak kuat untuk berdiri lama.

"Saya suka berjalan-jalan. Apabila tiba Ramadan, saya suka pergi bazar untuk mencari kuih tradisional... tapi saya tidak suka makan kek.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya Berjalan Kaki Dikatakan Hidup Melarat" - Mat Sentol

"Setiap hari, anak akan temankan saya berjalan kaki ke bazar. Saya tak suka pergi lewat petang, pergi awal-awal untuk lihat gelagat orang berniaga dan membeli makanan.

"Penyakit kencing manis atau darah tinggi semuanya tidak ada, cuma lutut saya tidak kuat untuk berdiri," katanya.

Mat Sentul berkata demikian ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Zaiton Ismail di kediamannya yang terletak di Larkin Jaya, Johor, pada Selasa.

Mat Sentul masih boleh berjalan dan tidak menghidap penyakit kronik.

Dalam lawatan itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor menyalurkan bantuan bulanan bagi membiayai keperluan sara hidup pelawak veteran itu.

Ditanya mengenai rahsia awet muda, Mat Sentul sempat berseloroh memakan belacan bagi mengekalkan wajah tampan.

Kata pelakon filem Mat Bond ini orang Melaka terutamanya di Tanjung Kling ramai tampan kerana mengamalkan makan belacan.

Saya makan belacan selalu sebab itu masih kekal handsome!

MAT SENTUL

PELAWAK VETERAN

"Saya makan belacan selalu sebab itu masih kekal handsome," ujarnya ceria.

Dalam perkembangan lain, JKM Johor tampil menyalurkan bantuan RM500 sebulan bagi membiayai keperluan hidup pelawak legenda itu bermula Mei ini.

Menurut Zaiton, bantuan itu juga bagi menghargai jasa dan sumbangan besar bintang legenda ini kepada dunia seni.

"Mat Sentul masih sihat... kita sama-sama doakan legenda hebat ini akan terus diberikan kesihatan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Zaiton Ismail (kiri) menyampaikan bantuan bakul makanan dan wang kepada pelawak Mat Sentul. Foto: BERNAMA

"Kita beri sumbangan kotak kotak makanan kepada Mat Sentul selain bantuan bulanan sebanyak RM500 mulai Mei ini. Pemberian ini adalah bagi menghargai sumbangan dan jasa beliau dalam industri hiburan terutama perfileman.

"Sejak Januari lalu hingga sekarang, sebanyak RM4 juta diperuntukkan setiap bulan untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya yang turut memaklumkan Mat Sentul adalah antara 11,373 penerima bantuan JKM Johor di Johor Bahru.

Sebelum ini menerusi laporan media tempatan, Mat Sentul menafikan dia kini uzur dan terlantar sakit di rumah.

Pelakon popular pada era 50-an ini berkata dia boleh berjalan dan ingatannya masih kuat walaupun sudah menginjak usia 88 tahun.

Mat Sentul kini tinggal berdua dengan anak lelakinya, Rosli Rashid, 59, di kediaman tersebut sejak kematian isteri, Jamilah Kasri, 71, pada Disember tahun lalu.

Anak kelahiran Muar itu pernah membintangi filem antaranya Mat Tiga Suku, Mat Bond, Mat Raja Kapor, Mat Toyol, Mat Karong Guni dan Mat Magic termasuk berlakon dalam filem arahannya sendiri.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain