suria

“Kami tumpang rumah orang, nak beli baju pun tak mampu” - Haneesya Hanee sedekah baju raya, terkenang hidup susah dahulu

Haneesya pernah melalui kehidupan sukar semasa dia masih kanak-kanak.

PERNAH berdepan kesusahan hidup suatu ketika dahulu, pelakon Haneesya Hanee berkata dia sekeluarga pernah menumpang di rumah orang dan tidak mampu membeli baju raya baharu.

Gara-gara kesempitan itu, Haneesya atau nama sebenar Haneesya Sayed Sahlan, 20, berkata dia dan adik hanya menggayakan baju raya hasil sumbangan orang ramai.

"Saya pernah rasa tak mampu beli baju raya. Dahulu masa saya tengah susah tak ada rumah menumpang rumah orang, kita orang tahap yang nak beli baju pun tak mampu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku tak faham kenapa kencing dalam lif?”- Haneesya Hanee berang perangai segelintir penduduk PPR

"Jadi apabila hari raya je rumah anak yatim akan panggil ibu tunggal untuk join jamuan berbuka puasa, dari situ dapatlah sikit duit raya.

"Apabila pergi rumah anak yatim tu, merekalah yang akan bagi baju, memang beberapa tahun baju saya adalah baju dari orang yang sedekahkan dekat keluarga saya," katanya.



Haneesya sedekah baju miliknya kepada pengikut di Instagram.

Pelakon drama Curi-Curi Cinta ini berkongsi mengenai pengalaman hidupnya itu menerusi Instagram pada Ahad.

Dalam siaran langsung di laman tersebut, bekas peserta program Dewi Remaja 2019 ini turut mengadakan sumbangan baju terpakai untuk diberikan kepada pengikutnya yang kurang berkemampuan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sekarang saya nak buat benda yang sama... dah empat beg besar saya bagi dekat kawasan orang yang memerlukan dan tinggal lagi satu ni saya nak kongsi dengan pengikut saya!

"Kami dah pernah rasa pengalaman itu dulu, lagi pula sekarang PKP ni kita rasa kita susah tak cukup duit makan, nak beli baju raya tapi sebenarnya ada yang lebih susah.



Kesusahan hidup dahulu membuatkan Haneesya lebih menghargai orang sekeliling.

"Apabila terfikir begitu... saya rasa tak apalah, baju-baju raya saya ini pun beli pakai sekali, lepas tu simpan dah tak pakai. Daripada simpan baik bagi orang.

"Raya setahun sekali bukan bermaksud kita kena ada baju baru, tapi kita sama-sama merasai dan berkongsi. Itu sahaja niat saya. Harap yang dapat baju ni doakan rezeki saya bertambah! Saya faham perasaan mereka yang kesempitan tak ada duit nak beli baju," ujarnya.

Dalam laporan media sebelum ini, Haneesya mengakui tidak pernah berasa malu tinggal di flat kos rendah sejak berusia 12 tahun.

Walaupun ada yang mempersenda kehidupannya itu, Haneesya tetap bersyukur dengan rezeki yang diberi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain