suria

Elfira seronok sambut Aidilfitri kali ini sebab anak dah boleh berjalan, pakai baju sedondon biarpun raya ‘terkurung’

Elfira Loy rindu suasana berhari raya di kampung halaman.

WALAUPUN negara terikat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, namun pelakon Elfira Loy tetap berusaha untuk mencipta suasana meriah dalam menyambut lebaran kali ini.

Menurut Elfira atau nama sebenarnya, Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, dia teruja menyambut Syawal kali ini kerana anaknya, Muhammad Rayyan Khalaf kini sudah boleh berjalan dan semakin aktif dalam tumbesarannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Elfira Loy tak berkira dengan keluarga, percaya rezeki yang ada untuk dikongsi bersama - “Kalau ada RM100, El bagi semua kepada mereka”

"Walau apa pun situasinya saya akan cuba menyambut raya dengan suasana paling meriah yang boleh sebab saya percaya hari raya merupakan hari untuk kita bergembira.

"Walaupun tidak dapat pulang berhari raya, kita jadi lebih menghargai individu yang berada di sekeliling kita. Macam saya pun ada keluarga kecil saya sendiri, jadi dapatlah kami luangkan masa bersama-sama.

Elfira Loy bersama suami, Faris Anuar.

"Tahun ini saya jadi lebih teruja nak beraya sebab anak dah besar dan boleh berjalan. Saya tak sabar nak tangkap gambar dan nak dia enjoy maksud raya itu sendiri," katanya kepada mStar.

Selain itu, pelakon berusia 27 tahun itu juga berkata dia sangat merindui untuk saling bermaafan dan berpelukan di pagi raya seperti mana yang lazim dilakukannya sekeluarga ketika pulang berhari raya di kampung halaman di Kuala Ketil, Kedah.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Sebenarnya perkara yang paling saya rindu ketika sambutan hari raya adalah untuk saling bermaafan dan berpelukan... itu yang paling saya rindu nak buat.

"Sekarang nak peluk pun tak boleh... bagi saya bila kita dapat peluk tu boleh lepas rasa rindu selepas sekian lama tidak dapat berjumpa dengan ahli keluarga lain (di kampung)," ujarnya.

Sebenarnya perkara yang paling saya rindu ketika sambutan hari raya adalah untuk saling bermaafan dan berpelukan.

ELFIRA LOY

PELAKON

Suka bergaya sedondon, Elfira juga berkata dia sudah menyediakan beberapa pilihan busana Aidilfitri buatnya sekeluarga termasuk ibu dan dua adiknya, pelakon Ezlisa Loy dan Ezzrin Loy.

"Saya memang jenis suka pakai sedondon satu keluarga di hari raya, bukan sahaja untuk suami dan anak, sebaliknya dengan ibu dan adik-adik sekali saya sediakan baju warna sedondon... barulah meriah raya kami sekeluarga," katanya tersenyum.

Anak tunggal Elfira, Muhammad Rayyan Khalaf.

Untuk rekod, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faris Khairol Anuar, 30, pada 1 Januari 2019.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Khalaf yang kini berusia dua tahun.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain