PELAKON dan pelawak veteran yang terkenal dengan watak Rajoo dalam sitkom Spanar Jaya, Ramasundran Rengan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 2 pagi, Rabu. Berita sedih pemergian pelawak berusia 57 tahun itu disahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia, Hafiz Nafiah dan dikongsi menerusi laman Facebook persatuan itu. "Kita kehilangan seorang pelakon, pelawak, penyanyi, pengarah yang sangat dedikasi dan komited dengan kerja. Rama telah meninggal dunia antara pukul 2 pagi hingga 2.30 pagi tadi. ARTIKEl BERKAITAN: Pelawak Acappan meninggal dunia "Beliau dibawa ke hospital pada pukul 12 malam akibat bengkak dikaki namun sejurus menerima rawatan mendiang mengalami sesak nafas dan proses CPR dilakukan... sejam kemudian doktor mengesahkan Rama telah tiada. "Sebelum ini, mendiang pernah mempunyai sejarah masalah jantung. Pemergiannya meninggalkan kenangan manis kepada semua sahabat-sahabat. "Salam takziah buat isterinya Kamala dan keluarga. Selamat tinggal Rama, semoga tenang di sana," katanya kepada mStar. [Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI] Dalam pada itu, Hafiz memaklumkan mayat mendiang masih di Hospital Kuala Lumpur dan akan dibedah siasat pada pukul 2 petang Rabu. Rama (dua dari kanan) mula dikenali menerusi sitkom Spanar Jaya. Sementara itu, rakan selebriti Sheila Mambo turut mengucapkan takziah dan menyifatkan Ramasundran atau lebih mesra dipanggil Rama sebagai seorang sahabat yang baik dan berbudi bahasa. "Kau orang baik Rama... manusia penuh budi bahasa. Selamat jalan sahabat. Salam takziah buat ahli keluarga mendiang, ” tulisnya. Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak. Untuk rekod, mendiang merupakan Naib Presiden Persatuan Teater Malaysia, Penolong Setiausaha Yayasan Artis Veteran Malaysia, dan aktif bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Ramasundran mula dikenali menerusi sitkom terkenal Spanar Jaya dan Jangan Ketawa pada tahun 1999. Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!