suria

Salammusik suarakan krisis Palestin, Israel dalam Kuasa

Salammusik merasa terpanggil untuk meluahkan tentang isu semasa dalam lagu terbaharu, Kuasa.

KETEGANGAN yang berlaku di antara rejim Zionis dan penduduk Palestin baru-baru ini turut mendapat perhatian kumpulan reggae, Salammusik apabila mereka tampil dengan sebuah single baharu berjudul Kuasa.

Bagaimanapun jelas kumpulan yang dianggotai 10 orang itu, Kuasa bukan didedikasikan buat Palestin dan Israel semata-mata, sebaliknya ia turut berkisar mengenai peperangan dan perebutan kuasa secara umum.

ARTIKEL BERKAITAN: Jadi Penyanyi Solo, Eyza Bahra Tinggalkan Salam Music

Menurut Salammusik, lagu itu sudah lama dihasilkan tetapi mereka menanti masa yang sesuai untuk melancarkan Kuasa yang dihasilkan sepenuhnya oleh Atjap.

"Sebenarnya Kuasa sudah lama siap tetapi kami menanti masa sesuai untuk diperkenalkan kepada peminat. Kuasa bukan mengenai Palestin dan Israel saja tetapi ia berkaitan isu peperangan dan perebutan kuasa.

"Konflik seperti itu sudah lama terjadi, jadi Salammusik berasakan ia perlu disuarakan.



Salammusik cukup gemar bereksperimen dengan muzik tradisional.

"Proses untuk menyiapkan lagu ini juga tidak dilakukan secara terburu-buru. Biasanya tempoh untuk menghasilkan sesebuah lagu tidak menentu dan bergantung kepada keadaan... kami tidak mahu menyiapkan sesebuah lagu dalam keadaan tertekan," katanya kepada mStar.

Selain Atjap, Salammusik turut dianggotai Dyana Shamsuddin, Yaya Naqia, Ahmad Bulya Abdillah, Hibri Arsad, Mohd Irhas, Jazmi Jamaluddin, Aabid Aafiat, Kristopher Chong dan Kevin Teng.

Selepas lebih setahun pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia, Salammusik akui rindu untuk kembali beraksi di pentas menghiburkan peminat secara langsung.

Kuasa bukan mengenai Palestin dan Israel saja tetapi ia berkaitan isu peperangan dan perebutan kuasa.

ATJAP

VOKALIS SALAMMUSIK

Untuk rekod, kumpulan ini terpaksa membatalkan penyertaan dalam sembilan festival muzik di Eropah tahun lalu disebabkan pandemik tersebut.

"Bagi kami, persembahan secara langsung dapat menyatukan orang ramai dalam menikmati muzik yang dipersembahan dan semestinya kami rindukan momen sebegitu.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Walaupun tidak dapat lagi bertemu dengan peminat secara langsung, kami bersyukur masih dapat terus bekerja di studio rakaman dan melancarkan lagu secara atas talian.

"Pada masa sama, kami juga berasa amat bertuah kerana adanya media sosial kerana secara tidak langsung ia menjadi medium yang dapat menghubungkan kami dengan pendengar muzik kami," kata Atjap lagi.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2006 ini cukup terkenal menerusi lagu Aku Pelat, Cerita Kedai Kopi dan Bangkit.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain