suria

Neelofa hulur RM100,000 beli katil untuk pesakit Covid-19, minta orang ramai DM Instagram jika perlu bantuan

Neelofa beri sumbangan katil untuk kegunaan pesakit Covid-19.

PRIHATIN dengan keadaan semasa Covid-19, selebriti sensasi Neelofa tampil menghulurkan sumbangan berupa kelengkapan katil untuk Hospital Melaka yang bernilai hampir RM100,000

Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 32, berkata, pemberian tersebut atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap peningkatan kes serta kekurangan katil di hospital-hospital utama.

“Rasa terpanggil untuk beri bantuan terutama apabila melihat keadaan hospital yang semakin sesak kerana terpaksa menampung jumlah pesakit Covid-19 yang banyak.

ARTIKEL BERKAITAN: Neelofa disiasat lagi... kali ini kes tak pakai pelitup muka di sebalik purdah

“Jadi saya ingin memainkan peranan dengan membantu komuniti dan rakyat Malaysia, sekali gus cuba untuk menangani pandemik ini. Saya harap dengan sumbangan yang kecil dan tidak seberapa ini dapat melancarkan proses pemulihan pesakit-pesakit Covid-19, ” ujarnya kepada mStar pada Jumaat.

Selain Hospital Melaka, Neelofa turut merancang untuk memberikan sumbangan kepada beberapa lagi hospital utama di seluruh Malaysia.

Petugas barisan hadapan mengucapkan terima kasih kepada Neelofa.

Neelofa juga berharap agar sumbangannya itu dapat memberi kemudahan kepada barisan hadapan, khususnya dalam menangani situasi lockdown yang sedang ditempuh oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Insya-Allah, kita akan cuba sebaik mungkin untuk membantu sebanyak mana hospital yang boleh, ” katanya.

Rasa terpanggil untuk beri bantuan terutama apabila melihat keadaan hospital yang semakin sesak kerana terpaksa menampung jumlah pesakit Covid-19 yang banyak.

NEELOFA

PELAKON/ PENGACARA

Sementara itu, Neelofa juga meminta mana-mana individu yang memerlukan sebarang bantuan menghubungi Pertubuhan Kasih Neelofa menerusi media sosial rasmi pertubuhan itu atau juga boleh secara langsung melalui media sosial Neelofa.

Pertubuhan Kasih Neelofa merupakan pertubuhan kebajikan pertamanya yang menjadi platform terbaik untuk dia melibatkan diri dalam masyarakat.

Terdahulu, seorang doktor perubatan, Dr Abu Hudzaifah yang bertugas di hospital berkenaan mengucapkan terima kasih kepada bekas pengacara MeleTOP itu atas sumbangan katil elektronik untuk kegunaan hospital.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Menerusi perkongsian Instagram itu, Abu berkata, Neelofa menyumbangkan 15 buah katil yang telah ditempatkan di zon Dekon Hospital Melaka dan digunakan serta merta bagi merawat pesakit Covid-19.

Untuk rekod, Neelofa sebelum ini mencetuskan kontroversi berhubung beberapa dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada April lalu, Neelofa dan suaminya Muhammad Haris Ismail atau PU Riz serta keluarga dikenakan kompaun berjumlah RM60, 000 selepas didapati bersalah gagal mematuhi SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) penganjuran majlis sosial iaitu perkahwinan mereka serta melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Manakala, pada 20 Mei lalu pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berhubung dakwaan merentas negeri ke Nilai 3.

Neelofa dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in'.

Haris pula dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan dan tidak memakai pelitup muka.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain