suria

Saharul Ridzwan kongsi tip makan 2 ekor ayam, 15 biji telur sehari untuk dapat badan sasa - “Sebulan beribu ringgit juga habis untuk diet”

Saharul Ridzwan buat badan demi jayakan watak.

PELAKON Saharul Ridzwan berkongsi pengalaman pernah mengamalkan diet ketat yang memerlukannya makan dua ekor ayam dan 15 biji telur separuh masak setiap hari bagi mendapatkan tubuh badan sasa.

Saharul atau nama sebenarnya, Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 32, berkata, diet harian yang dilakukannya pada dua tahun lalu itu demi memenuhi tuntutan watak sebagai pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) dalam filem Coast Guard.

ARTIKEL BERKAITAN: Saharul Ridzwan rugi RM30, 000, stok serunding berulat kerana tak laku - “Duit simpanan lebur... mungkin salah saya kerana kurang ilmu”

"Diet yang saya makan ayam dua ekor dan telur separuh masa 15 biji sehari itu saya amalkan dua tahun lalu ketika terlibat dalam filem Coast Guard... memang watak dalam filem itu perlukan badan saya nampak fit and solid.

"Tapi sekarang memang saya dah tak amalkan pun bila kena tegur dengan Datuk Rosyam yang tak galakkan badan saya terlalu besar sebab saya banyak juga berlakon bawah syarikat produksi dia sebelum ini.

"Bila badan terlalu besar, ia akan nampak tak cantik dalam televisyen dan tidak sesuai kalau nak bawa watak orang susah," katanya ketika dihubungi mStar.

Perkongsian Saharul di Instagram.

Walaupun begitu, Saharul berkata dia bersedia untuk tampil dengan imej berbadan sasa semula sekiranya dituntut oleh pengarah.

Menceritakan lebih lanjut tentang diet berkenaan, Saharul mendapat tunjuk ajar daripada seorang jurulatih kecergasan yang sememangnya pakar dalam bidang tersebut.

"Saya ikut sahaja bimbingan daripada coach. Saya memang tidak ada rasa loya sebab makan lauk itu sahaja, kita dah set target nak dapat bentuk badan macam itu.

Bila badan terlalu besar, ia akan nampak tak cantik dalam kaca tv dan tidak sesuai kalau nak bawa watak orang susah.

SAHARUL RIDZWAN

PELAKON

"Kalau diikutkan bila kita nak makan sihat ini, dia memerlukan kos yang sangat besar... saya boleh anggarkan dalam sebulan saya habis dalam ribuan ringgit jugalah untuk bekalan ayam, telur serta makanan tambahan lain.

"Sekarang saya hanya perlu maintain berat badan dalam 75 hingga 78 kilogram, sama macam ketika badan dahulu, berat pun sama cuma nampak besar sebab muscle itu timbul," ujarnya lagi.

Saharul sedia buat badan sekali lagi sekiranya watak diberikan menuntutnya untuk tampil sedemikian.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan seni, Saharul berkata dia sempat menjalani penggambaran drama terbaharunya, Mr. Bibik selama seminggu sebelum dihentikan buat sementara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.

"Drama Mr. Bibik saya bergandingan dengan Zara Zya dan kami pun baharu sahaja seminggu shoot sebelum terpaksa dihentikan.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Ini pun saya dengar-dengar mungkin bulan September baharu dapat sambung balik kalau ikut situasi semasa negara.

"Buat masa ini, memang saya fokus dulu dengan bisnes wangian, Ode Scents. Alhamdulillah sambutan sangat mengalakkan dan tidaklah saya hanya mengharapkan sumber pendapatan sebagai pelakon semata-mata," katanya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain