suria

Suraya Borhan teruja diberi peluang lengkapkan 'Team Pagi Suria' bersama Fizi Ali dan Ajak

Suraya meriahkan Team Pagi Suria bersama Ajak dan Fizi Ali.

SELEPAS genap sebulan pelawak Issey meninggalkan Suria FM, stesen radio itu mengumumkan Suraya Borhan sebagai pelengkap segmen Team Pagi Suria (TPS) bergandingan bersama Fizi Ali dan Ajak bermula Isnin.

Mengakui ia satu tugas yang berat, Suraya bagaimanapun berkata tanggungjawab mengendalikan segmen itu merupakan peluang terbaik untuk dia menyerlahkan lagi bakat dalam bidang penyampaian radio.

"Apabila dimaklumkan oleh bos saya akan ditukar ke segmen pagi, memang terkejut la... tak sangka diberi kepercayaan mengendalikan segmen pada waktu perdana.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia banyak pengalaman!” - Suraya Borhan minta nasihat Shiera sebelum melangkah ke bilik bersalin

"Ini kerana ramai penyampai radio mengimpikan peluang menjadi penyampai pada waktu pagi kerana ia boleh jadi penanda aras dalam kerjaya seseorang penyampai.

"Saya akui agak gementar nak mengendalikan program pagi kerana tugasnya berat tapi saya anggap ini satu cabaran. Alhamdulillah kerja dengan Fizi dan Ajak bukan masalah buat saya... tak sukar nak cari chemistry antara kami," katanya kepada mStar.

Suraya sebelum ini merupakan penyampai Suria Petang bergandingan bersama Sharifah Shahira (Shiera) dan Tyzo, manakala TPS pula dikendalikan oleh Fizi, Ajak dan Issey.

Issey bagaimanapun mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama stesen itu dan menamatkan tugas pada 15 Julai lalu.

suraya 1

Team Pagi Suria keudara setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 6 hingga 10 pagi.

Sementara itu, Suraya mengakui pertukaran mengejut itu turut mengundang rasa kurang senang pendengar setia Suria Petang yang mahu dia dikembalikan bersama Shiera dan Tyzo.

"Memang betul di media sosial saya terima pelbagai reaksi pendengar... ramai yang nak saya jadi penyampai petang! Mereka kata team Suria Petang tak lengkap tanpa saya.

"Tapi dalam hal ini, saya hanya mengikut arahan pihak pengurusan, jadi saya kena terima cabaran ini... sama seperti ketika saya mengendalikan Suria Petang bersama Tyzo pada tahun 2016, selepas setahun barulah orang terima gandingan kami.

Saya tak boleh berada di comfort zone selamanya, saya juga perlu tunjukkan sesuatu supaya orang nampak bakat!

SURAYA BORHAN

PENYAMPAI SURIA FM

"Jadi mereka kena beri ruang dan peluang mengendalikan segmen baru ini... saya pun tak boleh berada di comfort zone selamanya, saya juga perlu tunjukkan sesuatu supaya orang nampak bakat saya.

"Jangan risau Kak Rara (Shiera) dengan Tyzo pun dah lengkap untuk Suria Petang. Mereka mampu hiburkan anda semua! Yang penting terus sokong Suria ya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Suria melancarkan slot Tabung Pendengar Suria menerusi segmen Team Pagi Suria bermula Isnin.

suraya 2

Tabung Pendengar Suria hulur bantuan wang tunai kepada pendengar yang memerlukan.

Penyampai Team Pagi Suria akan memilih seorang pendengar setiap hari untuk menerima bantuan wang tunai berjumlah RM100 yang akan dikreditkan kepada akaun pendengar pada hari yang sama.

Pendengar yang ingin memohon boleh mendaftarkan butiran peribadi mereka seperti nama, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat email berserta kenapa mereka perlukan bantuan Tabung Pendengar Suria dan #TabungPendengarSuria di WhatsApp Suria 017-8961053.

Selain itu, bersempena dengan sambutan kemerdekaan Malaysia pada tahun ini, mereka yang berbakat melukis masih berpeluang untuk menyertai peraduan Perarakan Merdeka Suria X KL Sketch Nation.

Mereka yang berminat menyertai boleh hantarkan lukisan atau ilustrasi unik karakter pilihan mereka mengikut template dan tema patriotik harian yang disediakan di laman web suria.my/perarakanmerdeka2021 sebelum 20 Ogos ini untuk merebut peluang memenangi sebahagian daripada wang tunai berjumlah RM4,000 dan hadiah eksklusif daripada Suria FM.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Suria www.suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain