PELAKON dan penyanyi popular era 1960-an, Mimi Loma menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Semarak, Kuala Lumpur kira-kira pukul 2.19 pagi, Sabtu. Menurut anak tunggalnya, Sherina Othman, 48, arwah kurang sihat kebelakangan ini kerana masalah kesihatan. Kata Sherina lagi, arwah yang berusia 75 tahun tidak menunjukkan sebarang tanda sebelum pergi dan meninggal dunia semasa dalam tidur. ARTIKEL BERKAITAN: Mimi Loma Masih Cergas Pada Usia 67 Tahun “Sebelum ini arwah okay sahaja, cuma beberapa hari ini dia cirit birit dan kurang selera makan. Kelmarin arwah nampak lemah dan keadaan masih belum baik. “Malam tadi pernafasannya mula perlahan. Saya tidak sedap hati dan memeriksa pernafasan dalam pukul 2 pagi... arwah masih bernafas, cuma semakin perlahan. Mimi Loma sering menerima kunjungan persatuan seni sejak kurang sihat tahun lalu. “Tak lama selepas itu dia pergi dengan tenang di hadapan kami. Alhamdulillah, kami sempat mengajar arwah mengucap ketika sedang nazak. “Sebelum pergi pun dia tak ada cakap apa-apa dan tiada sebarang tanda ingin pergi... semuanya macam biasa,” katanya kepada mStar. Jenazah Allahyarham Mimi atau nama sebenar Aminah Ismail akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Batu Caves, pukul 11 pagi Sabtu. Mimi sebelum ini mengalami masalah penglihatan, darah tinggi, tidak mampu berjalan dan sakit belakang selepas terjatuh di rumahnya dua hari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri, tahun lalu. Gara-gara insiden itu, adik kepada Biduanita Negara, Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Mariani Ismail ini mengalami patah tulang pinggul dan perlu melakukan pembedahan. Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata dan tiga cucu. Untuk rekod, Mimi aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI