suria

Eizlan Yusof kekalkan hubungan baik dengan bekas isteri, enggan kasih sayang anak-anak terjejas - “Dia titik berat soal agama, pendidikan”

Hubungan Eizlan dan bekas isteri masih baik demi anak-anak mereka.

BAHAGIA menjalani haluan berbeza, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof memberitahu dia tetap mengekalkan hubungan baik dengan bekas isterinya iaitu Vie Shantie Haroon Khan.

Kata pelakon berusia 50 tahun ini, dia sentiasa percaya bahawa kasih sayang terhadap anak-anak tidak wajar dibeza-bezakan meskipun sudah mempunyai keluarga lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Eizlan Yusof dilantik sebagai Pengerusi Skim Wajib Tayang Finas - “Ini satu amanat untuk pasukan kami bekerja lebih keras lagi”

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Isteri selamat bersalin, Eizlan Yusof pakai baju sama sambut kelahiran anak keempatnya

"Hubungan saya dengan bekas isteri memang tiada masalah malah saya juga baik dengan suami dia. Hubungan dengan anak-anak pun sangat rapat. Saya puji bekas isteri seorang ibu yang sangat sentiasa memberikan didikan yang baik untuk anak-anak kami.

Eizlan 1

Eizlan dan Vie tidak mahu membezakan anak-anak mereka.

"Dia memang menitik beratkan keagamaan dan pendidikan anak-anak sebab dia seorang ibu, jadi dia tahu apa yang terbaik untuk anak kami. Saya dan dia juga akan memastikan semua anak-anak tiada perbezaan.

"Walaupun saya ada anak bersama isteri sekarang dan dia pun ada anak dengan suaminya, tapi kami selalu cakap mereka ini lima beradik. Tidak mahu ada jarak antara mereka," kata Eizlan kepada mStar.

Pelakon drama siri Gerak Khas: Undercover itu ditemui ketika sidang media Sambutan Ulang Tahun yang ke-37 Aeon Group Malaysia di Aeon AU2, Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Khamis.

Eizlan pernah mendirikan rumah tangga bersama Vie Santie Harun pada 7 Julai 2007 sebelum bercerai talak satu pada 28 September 2014.

Saya juga bersyukur ada isteri yang pandai menguruskan rumah tangga dan anak kami.

EIZLAN YUSOF

PELAKON

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga orang anak iaitu Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia.

Eizlan kemudian berkahwin dengan Natasha Rosa Boudville, pada 12 Disember 2019 dan mereka telah menimang cahaya mata perempuan bernama Zaelynn Rosa pada 13 April 2021.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai kehidupannya yang kembali berdepan dengan situasi menjaga anak kecil, Eizlan mengaku tidak mempunyai masalah untuk menguruskan Zaelynn Rosa.

Malah, kata Eizlan, di sebalik ujian pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia juga bagaikan satu hikmah besar apabila dia berpeluang menghabiskan banyak masa bersama anak dan keluarga.

Eizlan 2

Eizlan bersama isteri dan anak bongsunya yang berusia enam bulan.

"Saya ini merupakan orang yang sangat-sangat sibuk. Jadi apabila berlakunya pandemik dan PKP, secara tak langsung saya berpeluang dapat habiskan banyak masa dengan anak dan keluarga.

"Zaelynn sangat beruntung kerana dia mendapat tumpuan penuh daripada ibu dan ayahnya di rumah. Saya juga bersyukur ada isteri yang pandai menguruskan rumah tangga dan anak kami.

"Ini satu rahmat dariNya buat kami sekeluarga. Walaupun ada yang melihat pandemik ini dari sudut negatif, terjejas dan sebagainya, bagi saya, di sebalik semua itu tetap ada nilai positiviti dan hikmah yang baik buat kita semua," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain