suria

“Sempat dengar Sham jerit... Allah!” - Kru produksi cerita detik cemas kemalangan, nampak rakan tempat duduk belakang tercampak ke depan

Kamarul antara salah seorang kru produksi filem yang terlibat dalam kemalangan pada Rabu.

MALANG tidak berbau... itu yang terjadi kepada kru produksi filem yang terlibat kemalangan maut di Setiu, Terengganu apabila kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar tunggul kayu.

Menceritakan detik-detik cemas itu, salah seorang kru, Kamarul Anuar Mohamed Nasir berkata ketika kejadian dia sedang tidur namun hanya terdengar pemandu yang juga Allahyarham Muhammad Nurshamril Abdul Malek menjerit menyebut nama Allah.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta terbabas, kru produksi filem maut... 3 rakan parah

Kamarul yang mengalami patah tiga jari tangan kirinya turut melihat seorang lagi rakannya Amir Daniel Suhaimi tercampak dari kerusi belakang.

kamarul 1Muhammad Nurshamril Abdul Malek meninggal dunia di tempat kejadian.

"Sekarang ini saya dirawat di Hospital Besut. Tiga jari tangan kiri saya patah dan badan sakit sampai tak boleh nak bergerak.

"Sebenarnya saya tak pasti macam mana kemalangan berlaku sebab ketika itu saya sedang tidur. Tapi sebelum saya tidur, Sham dan Azizi tengah menyanyi kuat-kuat.

"Ketika sedang tidur, tiba-tiba saya rasa terhentak dan sempat dengar Sham menjerit 'Allah!'. Saya nampak Daniel yang duduk belakang saya tercampak ke hadapan saya.

"Kepala Daniel dekat airbag depan saya, kaki dia di tempat duduk belakang dan badan dia di atas saya," kata Kamarul ketika dihubungi mStar.

Pada mulanya saya ingat Sham hanya pengsan sahaja. Saya hanya tahu Sham meninggal dunia melalui laman sosial.

KAMARUL

KRU PRODUKSI FILEM

Pada Rabu, seorang kru produksi filem maut manakala tiga lagi rakannya parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan kira-kira pukul 1.15 tengah hari.

Dalam nahas yang berlaku di Kilometer 71, Jalan Kota Bahru- Kuala Terengganu, di Setiu, pemandu Muhammad Nurshamril Abdul Malek mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Manakala penumpang belakang, Amir Daniel Suhaimi, 23, mengalami kecederaan parah retak di bahagian leher.

Sementara itu seorang lagi penumpang belakang, Nur Azizi Nazril Abd Aziz, 26, parah selepas putus tangan kiri.

Kamarul 2Kru produksi yang terlibat menjalani penggambaran dokumentari terbitan syarikat milik pengarah Aziz M Osman.

Dalam pada itu, Kamarul turut berkongsi keadaan mereka sebelum dikeluarkan dari kenderaan tersebut.

"Masa itu, saya minta orang ramai keluarkan Daniel dalu tapi keadaan posisi dia agak sukar untuk dikeluarkan. Jadi, saya buka seat belt dan terus keluar kereta.

"Badan saya tak boleh gerak, orang ramai yang tolong angkat saya ke tepi. Saya hanya nampak orang angkat Sham sahaja. Lepas itu, saya dah tak tahu apa-apa.

"Pada mulanya saya ingat Sham hanya pengsan sahaja. Saya hanya tahu Sham meninggal dunia melalui laman sosial," ujarnya.

Sementara itu, pengarah Aziz M Osman mengakui empat kru produksi yang terbabit kemalangan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menjalani penggambaran dokumentari terbitan produksinya, Ace Motion Pictures Sdn Bhd.

Aziz, 59, menerusi laporan portal berita berkata, ketika kejadian dia bersama isteri, bapa mentua dan seorang anak yang juga kru produksi menaiki kenderaan lain untuk pulang ke Kuala lumpur.

"Kami dalam perjalanan pulang, kalau tanya saya, saya sendiri tak boleh jelaskan bagaimana keadaan berlaku kerana kami sudah jauh ke depan dan tidak dapat berhubung dengan mereka," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain