suria

Peminat kecewa penat beratur tapi gagal dapat tiket konsert Misha Omar, Istana Budaya mohon maaf

Peminat luah rasa kecewa gagal membeli tiket konsert Misha.

SUSULAN kekecohan penjualan tiket Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang pada Rabu, pihak Istana Budaya tampil

memohon maaf kepada pelanggan yang pulang dengan kekecewaan.

Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Zaifri Husin berkata pihak mereka kini dalam proses ke arah sistem penjualan tiket secara dalam talian menjelang awal tahun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Misha Omar henti rawatan kesuburan... bimbang tak boleh menyanyi ketika hamil - “Suami tak mahu saya mengandung sambil buat kerja berat”

"Kami ingin memohon maaf kepada orang ramai yang datang membeli tiket secara tunai semalam. Saya sendiri nampak orang beratur panjang di luar Istana Budaya dan meminta untuk mereka masuk ke dalam kerana cuaca yang panas dan hujan semalam.

misha 1

Zaifri mewakili pihak Istana Budaya memohon maaf.

"Kami ambil maklum isu yang berlaku semalam dan Istana Budaya kini sedang dalam proses ke arah pendigitalan yang dijangka dilaksanakan awal tahun depan.

"Sebenarnya usaha ke arah pendigitalan ini sudah dimulakan sejak Jun lalu, tapi disebabkan proses untuk menyiapkan mengambil masa yang panjang jadi kami tidak dapat laksanakan pada tahun ini," katanya kepada mStar.

Zaifri ditemui ketika sidang media Konsert Patriotik Tanah Airku bakal menampilkan persembahan penyanyi Syamel, Ernie Zakri, Aina Abdul, Fitri Hiswady, dan Hairi Safwan yang bakal berlangsung pada 6 November di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kami ingin memohon maaf kepada orang ramai yang datang membeli tiket secara tunai semalam.

ZAIFRI HUSIN

TIMBALAN KETUA PENGARAH ARTISTIK ISTANA BUDAYA

Isu penjualan tiket Konsert OSK Misha Omar menjadi bualan hangat di media sosial apabila ramai pembeli meluahkan rasa kecewa kerana gagal membeli tiket di kaunter yang dibuka di Istana Budaya, pada Rabu.

Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar akan berlangsung di Istana Budaya pada 30 Oktober depan.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kapasiti penonton dikecilkan kepada 735 daripada kapasiti penuh iaitu 1,400 tempat duduk.

misha 2

Konsert Misha Omar akan berlangsung pada 30 Oktober depan.

Dalam pada itu, Zaifri memberitahu pihak Istana Budaya meletakkan syarat hanya menjual empat tiket kepada setiap pembeli berikutan insiden kekecohan penjualan tiket.

Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai pihak untuk mendapatkan tiket konsert anjuran Istana Budaya.

"Hasil perbincangan dengan pihak pemasaran Istana Budaya, kami mengambil keputusan untuk hadkan penjualan empat tiket sahaja kepada setiap seorang.

"Ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk membeli dan menikmati persembahan yang dibawakan Istana Budaya pada tahun ini," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain