suria

Maya Karin terlepas peluang bintangi Crazy Rich Asian dengan Henry Golding gara-gara diserang anxiety ketika uji bakat

Maya terlepas peluang untuk membintangi filem pecah panggung Crazy Rich Asians bersama Henry Golding.

GARA-GARA diserang penyakit anxiety yang teruk, pelakon Maya Karin mendedahkan dia terlepas peluang membintangi filem Box Office Crazy Rich Asian bersama bintang terkenal Henry Golding empat tahun lalu.

Berkongsi kisah itu, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke, 42, berkata, dia gagal melakukan uji bakat tersebut dengan baik akibat penyakit gangguan psikologi yang dihidapinya itu sejak tujuh tahun lalu.

“Saya ada hadiri ujibakat untuk Crazy Rich Asian tetapi serangan anxiety saya sangat teruk ketika itu dan saya tak dapat buat yang terbaik.

“Anxiety saya bermula tujuh atau lapan tahun yang lalu, saya tak tahu berpunca daripada mana tetapi ayah saya kata ia mungkin kerana terlalu sibuk bekerja sehingga tak cukup rehat, fly ke sana sini.

“Ia seperti satu tahap dalam kehidupan di mana mungkin kita teringatkan sesuatu atau sesuatu perkara berlaku yang trigger anxiety,” ujarnya.

Maya berkongsi di IG Live melalui akaun Instagram Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM)

Perkongsian Maya bersama editor hiburan Dean, Roslen dan Farihad.

Perkongsian Maya itu dilakukan secara IG Live melalui akaun Instagram Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) pada malam Isnin sebagai usaha menyemarakkan sambutan Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung 10 Disember depan.

Sesi yang bertajuk Aku Pelakon Terbaik itu dibawakan khas oleh Bahagian Latihan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Ia dikendalikan oleh editor hiburan berpengalaman yang bertindak sebagai moderator iaitu Dean Musthafa, Roslen Fadzil dan Farihad Shalla.

Sementara itu, Maya juga berkata, dia pernah cuba mengatasi penyakit itu dengan melakukan sukan diving (menyelam) namun malangnya dia tiba-tiba diserang panic attacks ketika menyelam yang memburukkan lagi keadaannya.

Saya kini ada cuba mengenali hati budi beberapa orang teman, dan diantaranya ada orang Malaysia dan ada juga dari luar negara.

MAYA KARIN

PELAKON FILEM

“Ada satu tahap saya cuba untuk melawan anxiety dengan diving tetapi tidak berjaya dan saya mengalami panic attack semasa diving dan membuat keadaan menjadi lebih teruk,” ujarnya.

Selain itu, pelakon Pontianak Harum Sundal Malam ini juga berkongsi antara simptom yang dialaminya ialah tangannya menggigil jika berada dalam sesuatu keadaan tertekan.

“Saya periksa diri saya, periksa mood saya, cukup tidur atau tidak? Bagaimana keadaan sekeliling? Dengan siapa kita berada? Adakah kerana terlalu ramai orang? Adakah kita terlalu tertekan? Apa punca tekanan dan sebagainya.

“Tangan saya akan mula menggigil apabila mula mendapat serangan anxiety, kalau saya tak dapat mengawalnya, saya tidak mampu untuk pegang gelas kerana tangan saya menggigil teruk,” ujarnya yang sedang menjalani rawatan pakar bagi mengatasi penyakit itu.

Maya Karin menghidap anxiety sejak tujuh tahun yang lalu dan berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan

Maya cuba mengatasi masalah anxiety yang dihidapinya.

Dalam perkembangan lain, Maya mendedahkan dia kini sedang berkawan dan mengenali hati budi beberapa lelaki, namun belum mahu membawa hubungan itu ke peringkat lebih serius.

“Saya kini ada cuba mengenali hati budi beberapa orang teman, dan diantaranya ada orang Malaysia dan ada juga dari luar negara.

“Saya juga ada video call seminggu sekali check perkembangan masing-masing tetapi tiada yang serius lagi” jelasnya.

Tidak mahu terlalu memikirkan soal cinta, Maya berkata, dia lebih fokus untuk bekerja dan memberi perhatian terhadap pementasan Muzikal Puteri Santubong The Warrior Princess yang akan dipentaskan pada 11-12 Disember depan.

Selain Maya, artis lain yang akan turut berkongsi kisah menarik mereka ialah Fauziah Ahmad Daud, Syamsul Yusiof, Mawi, Yana Samsudin, pengarah dan penerbit filem seperi Datuk Ziela Jalil, Fadzil Teh dan Datuk A Aida. Sesi ini yang bermula Sabtu lalu akan berlangsung sehingga 29 November ini pada pukul 9 malam menerusi Instagram Wartawan Hiburan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain