suria

Mamat Exists masih dipantau AADK, perlu dapat kebenaran keluar kawasan... Sebulan sekali sertai program khidmat masyarakat

Mamat masih dalam pemantauan AADK.

GARA-GARA terlibat penyalahgunaan dadah sekitar tahun 2019, vokalis kumpulan Exists iaitu Mamat mendedahkan pergerakannya masih dipantau Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK).

Menurut Mamat atau nama sebenar Mohd Ali Kamarudin, 42, dia perlu melaporkan diri dan mendapatkan kebenaran daripada agensi tersebut jika ada urusan kerja dalam tempoh dua tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Mamat Exist nak 'serah diri' lepas konsert, janji dapatkan rawatan pulih ketagihan dadah

ARTIKEL BERKAITAN: “Ini satu ujian awal untuk kami” - Penahanan Mamat, Ajai harap konsert Exists Reunion terlaksana

“Bermula awal tahun ini, saya perlu melaporkan diri kepada AADK Johor Bahru jika mahu keluar kawasan untuk urusan kerja dan lain-lain.

“Selain itu setiap sebulan sekali, saya perlu mengikuti program kemasyarakatan yang dianjurkan agensi sebagai syarat dalam tempoh pemulihan.

“Saya tidak kisah mengikuti peraturan yang ditetapkan. Hal ini demi kebaikan saya juga dan saya juga tidak terasa terbeban dengan syarat ini,” katanya kepada mStar.

Setiap sebulan sekali, saya perlu mengikuti program kemasyarakatan yang dianjurkan agensi sebagai syarat dalam tempoh pemulihan.

MAMAT

VOKALIS EXISTS

Penyanyi lagu Untukmu Ibu ini ditemui pada Majlis Pelancaran Album Live Exists Reunion di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Rabu.

Bercakap mengenai konsert jelajah yang dirancang kumpulan Exists, Mamat berkata, urusan perjalanan untuk latihan di Kuala Lumpur akan diuruskan oleh pihak penganjur.

Selain aktiviti bersama kumpulan Exists, dia juga sibuk menguruskan perniagaan makanan di Johor Bahru.

“Alhamdulillah, semua aktiviti yang membabitkan kumpulan Exists akan diuruskan oleh Shiraz Project. Saya pun tiada masalah berulang-alik demi kerja.

“Dalam pada itu, saya menjalankan perniagaan menjual makanan di kampung halaman. Jadi, memang kerap berulang-aliklah Johor dan Kuala Lumpur,” katanya lagi.

mamat2

Exist ditemui pada sidang media Album Live Exists Reunion.

Ditanya pula mengenai desas-desus bakal menamatkan zaman duda dalam masa terdekat, Mamat enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan tersebut.

“Saya tak ada apa nak cakap... InsyaAllah,” katanya.

Pada 8 September 2019, Mamat bersama seorang rakannya ditahan ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru pada pukul 11.30 malam kerana memiliki sejumlah dadah jenis syabu.

Kejadian itu berlaku sebelum penyanyi ini menjayakan konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September 2019.

Susulan itu, Mamat dikehendaki menjalani rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain