suria

Ibu Tyzo meninggal dunia

Tyzo bergegas pulang ke Ipoh selepas dimaklumkan ibu meninggal dunia.

KHABAR duka buat penyampai radio Suria FM iaitu Tyzo apabila ibunya, Hasnah Shaari atau dikenali sebagai Cikgu Hasnah meninggal dunia kira-kira pukul 7 malam, Isnin.

Menurut Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris, arwah yang berusia 80 tahun menghembuskan nafas terakhir di rumah keluarganya yang terletak di Ipoh, Perak.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sebak tengok Tyzo dukung ibu sedang uzur, lepas rindu lama terpisah - “Jaga mereka sebaik mungkin sementara ada masa”

“Ya... saya baru dimaklumkan yang ibu saya sudah meninggal dunia. Bila dapat tahu, saya terus bergegas pulang ke Ipoh. Ibu meninggal dunia sekitar pukul 7 malam di rumah.

“Saya tak dapat maklumat lagi mengenai proses perkebumian sebab masih dalam perjalanan pulang ke kampung,” kata Tyzo secara ringkas ketika dihubungi mStar menerusi aplikasi WhatsApp.

Tyzo sendiri tidak mendapat maklumat terperinci tentang punca kematian arwah ibunya.

Pada Oktober lalu, Tyzo ketika ditemu bual mStar mengakui dia sudah lama tidak dapat pulang ke kampung berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kata Tyzo lagi, walaupun sibuk dengan kerja, dia mengambil peluang untuk pulang ke kampung walaupun hanya sempat bertemu ibunya hanya untuk beberapa jam.

Tyzo sebelum ini pernah berkongsi video dia bersama ibunya menerusi Instagram dan TikTok membuatkan ramai peminat berasa sayu.

“Kalau tengok kat Instagram saya, saya bukan orang yang aktif di media sosial, video itu adalah antara momen yang boleh saya kongsikan dengan peminat yang tak kenal ibu saya.

“Sekurang-kurangnya apabila saya berkongsi video tu, mungkin akan memberikan inspirasi kepada yang lain-lain nak pulang ke kampung, maklumlah kita baru sahaja lepas PKP,” katanya seperti yang dilaporkan mStar sebelum ini.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO MUZIK APA APA ROJER!

Artikel Lain