suria

Terdesak duit simpanan habis, Tuah Adzmi jual kereta Mini Cooper buat modal berniaga... Tak sangka bisnes pun tak laku!

Tuah jual kereta demi kelangsungan hidup sepanjang PKP pada tahun 2020.

GARA-GARA tiada tawaran nyanyian dan hilang sumber pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), penyanyi Tuah Adzmi memberitahu dia terpaksa menjual kereta kesayangan miliknya.

Menurut Tuah atau nama sebenar Arumi Nafis Mohd Adzmi, 24, dia terpaksa melepaskan kereta jenama Mini Cooper yang dibeli hasil titik peluhnya itu demi meneruskan kelangsungan hidup.

"Semasa PKP 1.0 pada tahun 2020, kita semua tak boleh bekerja... show pun tak ada. Semakin lama duit simpanan pun berkurang, jadi saya terpaksa jual kereta yang saya beli pada tahun 2019 itu untuk teruskan hidup.

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah Adzmi gembira MV 'Kecewa' dapat sambutan, peminat pula tak puas hati penggambaran hanya di lokasi sama dengan lagu terdahulu

ARTIKEL BERKAITAN: Tuah Adzmi bercinta sorok-sorok dengan gadis Singapura? - “Tak boleh... sempadan tak buka!”

"Masa awal PKP okay lagi, tapi apabila dah masuk bulan keenam, duit memang habis... mahu tak mahu jual kereta merupakan jalan terakhir. Memang sedih tapi ketika itu tak boleh nak fikir apa dah.

"Saya terpaksa jual di kedai kenderaan terpakai dengan harga RM18,000 sahaja, masa itu memang terdesak sangat, nak jual dekat kenalan lain pun tak boleh sebab masa tu tengah PKP," katanya kepada mStar.

tuah 2

Tuah akui tiada tawaran nyanyian sepanjang PKP.

Tuah ditemui semasa sidang media dan pengumuman finalis program Big Stage 2022 yang diadakan di Connexion Conference & Event Centre, Bangsar, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, Tuah memberitahu dia menggunakan duit jualan kereta itu sebagai modal untuk memulakan perniagaan makanan dan pakaian.

Saya harap Big Stage menjadi platform terbaik untuk saya dapat menonjolkan lagi bakat yang ada dan berjaya dalam industri seni!

TUAH ADZMI

PENYANYI

"Saya guna duit jual kereta itu untuk tampung kehidupan, di samping itu saya jadikan modal untuk jual roti john semasa bulan Ramadan. Saya juga jual baju t-shirt tapi tak menjadi sebab PKP... mungkin timing tak sesuai, jadi saya rasa tindakan saya guna duit untuk berniaga pun sia-sia.

"Mujurlah saya ada satu lagi kereta Myvi yang masih boleh digunakan, sebenarnya kereta itu ibu saya yang guna tapi memandangkan dia baru sahaja pencen, jadi sekarang saya pakailah dahulu.

"Alhamdulillah sekarang ini sektor hiburan pun dah boleh bernafas sedikit, saya harap dapat bekerja dan menyimpan duit semula. Saya mahu bina semula kerjaya yang dah terhenti sejak dua tahun lalu. Niat saya hanya mahu menyenangkan ibu, cukup makan minum kami kemudian barulah nak fikir fasal kereta baharu," ujarnya.

tuah 1

11 penyanyi baharu berentap dalam Big Stage 2022.

Bercakap mengenai program Big Stage 2022, Tuah bakal bersaing dengan 10 lagi peserta dalam program nyanyian bakat-bakat baharu atau digelar budak-budak baru nak up (BBNU) itu.

"Syukur diberi peluang menyertai pertandingan ini, sebenarnya dah tiga kali saya hadiri ujibakat program ini tapi tak berjaya. Alhamdulillah nampaknya tahun ini rezeki itu tiba.

"Saya harap Big Stage menjadi platform terbaik untuk saya dapat menonjolkan lagi bakat yang ada dan berjaya dalam industri seni. Saya sedar perjalanan saya masih panjang lagi," ujarnya.

10 lagi peserta Big Stage 2022 ialah Aisha Retno, Elica Paujin, Lia Aziz, Yazmin Aziz dan Sofiaa Marieylla.

Selain itu, Megat Rahim, Ajoi Zainal, Danial Chuer, Syafiq Abdilah dari Brunei dan Tegar Septian (Indonesia).

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain