suria

Peminat ‘cucuk’ Iqbal suruh saman Ajai, mengaku pedih dengar komen juri

Iqbal tak kecil hati dengan komen Ajai.

TERSINGKIR pada minggu kedua program nyanyian Big Stage 2022, usahawan kontroversi Ahmad Iqbal Zulkefli mengakui kecewa kerana tidak dapat meneruskan saingan dalam pertandingan nyanyian itu.

Menerima keputusan juri dengan hati terbuka, Iqbal, 28, berkata dia meletakkan harapan untuk kekal berada dalam program tersebut dan melakukan yang terbaik semasa persembahannya itu.

"Sejujurnya sedikit kecewa tersingkir... saya ada letak harapan nak kekal dan teruskan menyertai program ini. Saya pun sedang belajar dan baru nak panas, rasa selesa bekerjasama dengan semua orang termasuk peserta lain yang sebaya dengan saya, kami baru nak rapat.

ARTIKEL BERKAITAN: Bye Iqbal! Seperti dijangka jadi peserta pertama tersingkir Big Stage 2022

ARTIKEL BERKAITAN: "Buang je la kalau saya tak layak" - Iqbal cabar juri Big Stage

"Tapi nampaknya tak ada rezeki untuk saya teruskan, saya pun sedar mungkin akan tersingkir sebab tu saya buat yang terbaik di konsert minggu kedua.

"Secara keseluruhannya saya bangga dengan diri sendiri, saya melangkah berani dan semua orang di dewan beri sorakan meraikan saya.

"Alhamdulillah ramai dah mula suka dan nampak semangat saya, mereka puji kata saya berjiwa kental dan merendah diri. Memang ramai yang mesej beri kata semangat," katanya kepada mStar.

iqbal 2

Iqbal terima komen Ajai dengan hati terbuka.

Pada konsert minggu kedua, Iqbal yang menyanyikan lagu Ketahuan mendapat markah tercorot iaitu 9.2 peratus sekaligus gagal meneruskan perjuangan.

Menurut juri tetap iaitu Ajai, nyanyian Iqbal kedengaran berterabur selain tidak dikurniakan bakat sebagai seorang penyanyi.

Saya okay sahaja, menerima dengan hati terbuka dan serap semua komen yang diberi oleh orang yang lebih lama dan berpengalaman dalam industri

IQBAL ZULKEFLI

PESERTA BIG STAGE 2022

"Kamu tak berbakat dalam nyanyian. Bakat ini adalah pemberian... straight to the point. Walaupun berduit, tapi bakat tak boleh beli dengan duit. Allah yang kurniakan.

"Awak tak dilahirkan sebagai penyanyi... ada rezeki lain. Allah maha adil, dia berikan rezeki lain-lain. Mula-mula saya beri lima tapi nyanyian belakang terabur. Awak pun tahu, tempo terabur," komen Ajai.

iqbal 3

Iqbal tidak akan berhenti menyanyi.

Mengulas mengenai komen pedas juri itu, Iqbal mengakui tidak terasa hati dengan kritikan berkenaan, namun menegaskan sama sekali enggan berhenti mengejar cita-cita sebagai penyanyi.

"Saya tak sentap, okay sahaja, menerima dengan hati terbuka dan serap semua komen yang diberi oleh orang yang lebih lama dan berpengalaman dalam industri.

"Walaupun ada penyokong saya marah di laman sosial dan minta saya saman Ajai kerana komen begitu tapi saya terima daripada sudut positif sahaja. Meskipun pedih tapi saya kena reda dengan komen yang diberikan juri.

"Walau apa pun kata Ajai, itu tak bermakna saya akan berhenti, kata-kata itu tidak akan membuatkan saya putus asa atau berhenti daripada menyanyi. Saya bukan nak jadi hebat cuma saya berminat untuk belajar lebih lagi mengenai muzik dan mahu jadi seorang penghibur.

"Saya tak mahu pertikaikan komen juri itu tapi sejujurnya saya tak boleh berhenti menyanyi, kata-kata itu sama sekali tidak menutup minat saya. Saya akan tetap teruskan minat ini. Kalau boleh saya nak galakkan semua orang belajar vokal bukan semata-mata untuk jadi penyanyi tapi kerana ilmu dan minat," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain