suria

Bukan saja-saja... AlHijrah jemput Kak Long 7E untuk beri teguran, tangguh siaran selepas teruk dikecam

PU Amin menerima kecaman hebat netizen gara-gara menjemput Kak Long 7E (tengah)

SELEPAS menerima kecaman hebat netizen gara-gara menjemput wanita yang dikenali sebagai Kak Long 7E sebagai tetamu sebuah program, pihak TV AlHijrah memaklumkan ia bertujuan sebagai memberi teguran.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, pihak stesen televisyen berkenaan memberitahu program tersebut turut menampilkan penceramah iaitu Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki sebagai tetamu yang bertujuan memberi nasihat kepada Kak Long 7E.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Foto PU Amin bergambar dengan Instafamous seksi undang fitnah, tak hormat ustaz - “Dakwah bukan sekadar di masjid dan surau sahaja”

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Kak Long dah minta maaf, giliran wakil 7Eleven pula buka mulut... dedah kisah sebenar, CCTV ada bukti segalanya!

Susulan itu juga, AlHijrah membuat keputusan untuk menangguhkan siaran episod tersebut.

“Program Trending merupakan sebuah program perkongsian yang membincangkan isu-isu terkini yang tular di media sosial.

“Kehadiran Kak Long 7E di studio juga disertai oleh Ustazah Isfadiah sebagai penalis yang mengambil peranan memberi teguran agar lebih peka dan bertanggungjawab sebelum berkongsi apa sahaja isu di mana-mana platform khususnya di media sosial,”

“TV Alhijrah juga mengambil kira kegelisahan yang tercetus dan mengambil keputusan untuk menangguhkan penyiaran episod tersebut.

Terdahulu, stesen TV AlHijrah dan Pencetus Ummah (PU) Amin menjadi sasaran kecaman netizen apabila tular satu promosi yang menjemput Kak Long 7E sebagai tetamu program.

Rata-rata meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila produksi program itu memberi ruang kepada wanita yang dianggap bersikap biadap terhadap pekerja kedai serbaneka berkenaan.

Segelintir netizen juga menganggap tindakan PU Amin selaku pengacara mempromosi Kak Long atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura sebagai tidak wajar.

“PU Amin ini selalu tegur orang kalau buat salah, akhirnya dia yang promote Kak Long 7E tu.

“Gilalah, kakak yang maki pekerja 7E tu dijemput masuk televisyen. Parah benda macam ini diangkat.

“Yang kena maki hamun itulah patut dijemput kerana tinggi adab mereka. Bukan wanita yang tidak beradab dijemput,

“Bukan ke PU Amin seorang yang lantang bersuara, takkan benda macam ini tak boleh fikir,” komen netizen Twitter.

pu amin 2

Komen pendakwah dan pensyarah Dr. Rozaimi

Malah, pendakwah dan pensyarah Dr Rozaimi Ramle menerusi Facebooknya turut membuat teguran terbuka kepada stesen televisyen Al Hijrah yang sepatutnya memberi peluang kepada individu berakhlak baik.

“Kecewa dengan TV AlHijrah dengan jemputan mereka. Sepatutnya panggil pihak yang diprovokasi kerana akhlak mereka yang baik. Sekadar meluahkan perasaan,” tulisnya.

Bagaimanapun, menerusi semakan mStar, PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maulana Lokman Hakim, 31, telah memadam status mempromosikan rancangan tersebut di platform media sosial miliknya selepas beberapa jam dimuat naik.

Bukan ke PU Amin seorang yang lantang bersuara, takkan benda macam ini tak boleh fikir

NETIZEN

mStar juga cuba mendapatkan maklum balas PU Amin namun belum berjaya kerana mesej dan panggilan tidak dijawab.

Pada 2 Mac lalu, Kak Long 7E menjadi tular kerana memarahi seorang pekerja kedai 7 Eleven akibat tidak berpuas hati anaknya dituduh mencuri.

Dia sengaja merakam kejadian tersebut secara live menerusi laman TikTok miliknya.

Dia kemuadian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menerima kecaman daripada netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain