suria

Dua tahun fokus buat kek, Ariz Lufias mahu kembali jadi artis... Tapi ada syarat sebelum terima tawaran

Ariz seronok ambil tempahan kek.

SETELAH sekian menyepi dari dunia seni, Ariz Lufias yang juga merupakan anggota kumpulan Forteen mahu kembali aktif berlakon dan membuat persembahan pentas.

Menurut Ariz atau nama sebenarnya Saiful Ridzuan Abdul Hamid, 30, perasaan teruja berlakon datang semula apabila dia berjumpa peminat ketika membuat persembahan bersama Forteen sekitar Disember tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kena sepak beramai-ramai di surau, tiada siapa tolong aku” - Ariz (Forteen)

ARTIKEL BERKAITAN: Ariz (Forteen) Jauhkan Diri Daripada Zulin Aziz

Ariz yang bakal membintangi drama Papaku Playboy mengakui sedikit gementar untuk kembali ke set penggambaran.

“Sejak hujung tahun 2019, saya buat keputusan untuk rehat dari dunia seni kerana ketika itu arwah bapa sedang sakit.

“Selepas bapa meninggal pada April 2020, saya rasa lebih selesa untuk duduk di rumah dan berniaga kek.

“Bagaimanapun hujung tahun lalu saya ada membuat persembahan bersama Forteen dan dari situ timbul rasa teruja untuk kembali aktif.

ariz 2

Tahun 2022, Ariz akan kembali aktif.

“Memanglah sangat seronok apabila diberi tawaran berlakon, namun ada sedikit rasa gementar untuk kembali ke lokasi,” ujarnya kepada mStar.

Bercakap tentang tawaran berlakon, Ariz berkata, dia hanya akan menerima watak yang sesuai dengan dirinya.

Dalam masa sama Ariz juga tidak melihat kemunculan pelakon-pelakon baharu sebagai satu cabaran buatnya untuk kembali memikat hati peminat.

Jika masih diterima maka saya akan teruskan berlakon

ARIZ LUFIAS

PELAKON/PENYANYI

“Kalau boleh saya tidak mahu watak yang terlalu berat dan saya akan terima tawaran berlakon jika sesebuah produksi bersetuju dengan syarat saya.

“Disebabkan sekarang ini saya ada perniagaan menjual kek, jadi masa harus dibahagikan sebaik mungkin untuk kedua-duanya.

“Saya percaya pasti ada ruang dan peluang untuk semua anak seni. Jika masih diterima maka saya akan teruskan berlakon,” katanya.

ariz 3

Selain berlakon Ariz ada perancangan keluar lagu baharu bersama Forteen.

Selama berehat dari sebarang aktiviti seni, Ariz menguruskan perniagaan Dapur Bik Senah yang menerima tempahan membuat kek.

Katanya pengalaman berniaga dan menghasilkan kek sendiri banyak mengajar untuk lebih bersabar.

“Kalau dahulu saya seorang yang susah untuk fokus apabila melakukan sesuatu kerja.

“Berniaga dan membuat kek sendiri mengubah saya menjadi seorang penyabar.

“Selain itu saya juga seronok melihat ibu saya gembira dengan perniagaan yang dijalankan,” jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain