suria

Ali XPDC belum boleh bercakap seperti biasa... Isteri syukur dapat sumbangan ringankan beban, tapi tak mahu meminta-minta

Ali perlu menjalani beberapa rawatan susulan selepas dimasukkan ke hospital awal Mac lalu.

KEADAAN kesihatan penyanyi Ali XPDC yang tiba-tiba jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital Ampang pada 4 Mac lalu kini beransur sembuh.

Menurut isterinya iaitu Sharifah Syarzana, Ali, 53, dibenarkan keluar dari Hospital Ampang pada Selasa dan meneruskan rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah selepas disedarkan dari tidur minggu lalu, kesihatannya menunjukkan tanda-tanda positif. Cumanya dia masih belum mampu bercakap dengan jelas. Sekarang ini masih memerlukan rawatan lanjut di hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Ali XPDC ditidurkan, isteri mohon adakan solat hajat dan bacaan Yasin

ARTIKEL BERKAITAN: Ali XPDC masuk unit kecemasan PPUM, alami semput dan lemah jantung

"Doktor kata kemungkinan dia akan terus berada di wad dalam tiga minggu lagi. Nampak semangat abang Ali kuat, keadaan nampak lebih baik berbanding semasa di ICU dulu. Tapi jantung dia masih lemah dan mungkin selepas ini dia perlu ke Hospital Serdang pula untuk pemeriksaan jantung di sana.

"Nak benar-benar pulih mungkin ambil masa, doktor pun kata dia dah tak boleh nak menyanyi walaupun dah sembuh, perlu ambil masa beberapa bulan lagi untuk beraksi di pentas," katanya kepada mStar.

ali 2

Ali memerlukan masa untuk kembali menyanyi.

Pada 4 Mac lalu, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah.

Selepas seminggu dimasukkan ke hospital, keadaan kesihatan Ali semakin merosot dan terpaksa ditidurkan akibat mengalami kesukaran bernafas.

Tapi kalau ada orang nak hulurkan bantuan kita terima sahaja tapi belum sampai tahap meminta-minta

SHARIFAH SYARZANA

ISTERI ALI XPDC

Dalam pada itu, Syarzana mengakui kos penjagaan dan perbelanjaan untuk suaminya itu semakin bertambah selepas dimasukkan ke hospital.

"Sejujurnya memang banyak duit keluar untuk kos rawatan dan penjagaan diri. Sekarang ini pula Abang Ali perlu menggunakan lampin pakai buang dan susu khas... seminggu dalam ratusan ringgit juga perlu dibelanjakan untuk Abang Ali termasuklah kos ulang alik saya dari hospital ke rumah.

"Sebelum ini ada kawan kami kongsi mengenai kutipan sumbangan untuk Abang Ali di Facebook... mungkin niat kawan kami itu baik dan hanya nak membantu.

ali 3

Sahabat kongsi perkembangan terkini Ali di Facebook.

"Tapi sejujurnya kami bukanlah terdesak nak minta sumbangan dan Abang Ali pun tak suka menyusahkan orang lain. Tapi kalau ada orang nak hulurkan bantuan kita terima sahaja tapi belum sampai tahap meminta-minta.

"Mungkin selepas ini kalau terdesak memerlukan bantuan kewangan barulah kita usahakan dengan badan-badan atau pihak tertentu. Alhamdulillah ada juga kawan-kawan kumpulan rock 90-an yang hulurkan bantuan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Konsert Jualan Hitam XPDC 2022 yang sepatutnya berlangsung pada 12 Mac lalu di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor akan diteruskan pada Jumaat ini.

Memandangkan keadaan kesihatan Ali yang tidak mengizinkan, penganjur sinio.com dan Warisan Hall Studio memaklumkan mereka menjenamakan semula konsert berkenaan kepada Konsert Jualan Hitam XPDC 2022 - Tribute Untuk Ali.

Mereka mensasarkan jualan sebanyak 10,000 unit tiket dalam talian bagi konsert ini dan sebahagian daripada hasil jualan tiket itu akan disumbangkan terus kepada Ali.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain