suria

Artis nasyid popular berdepan hukuman gantung, 17 pokok ganja ditanam dalam rumah

Artis nasyid ditahan tanam 17 pokok ganja dalam rumah.

KEGIATAN mengusahakan 'ladang mini' tanaman ganja oleh penyanyi nasyid dan komposer terkenal di unit kodominium miliknya di Kota Damansara terbongkar apabila diserbu polis pada Khamis.

Suspek ditahan kira-kira pukul 5.30 petang bersama 17 pasu pokok ganja yang ditanam sejak dua bulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi nasyid dicekup terlibat kes dadah

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat.

"Ketulan mampat ganja bernilai RM10,700 itu ditemui di bahagian dapur dalam bekas plastik berwarna biru dan hitam yang diletakkan di atas kabinet dapur.

“Selain itu, polis turut merampas ketulan mampat ganja seberat 214 gram.

"Pemeriksaan lanjut di sebelah bahagian dapur rumahnya pula, polis menemui satu almari kain berwarna hitam yang di dalamnya terdapat tiga pasu pokok disyaki ganja," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pada Jumaat.

Kita juga percaya suspek ini sudah terlibat dengan penagihan dadah selama 10 tahun dan dia mempelajari cara menanam pokok terbabit menerusi media sosial

Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya

Selain itu, polis juga menemui 13 pokok dalam pasu disyaki ganja yang ditempatkan dalam sebuah bilik dan satu pasu yang diletakkan di balkoni kediaman tersebut.

"Hasil ujian saringan air kencing terhadapnya juga mendapati suspek positif dadah jenis THC (ganja)," katanya.

Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati suspek yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu (AJL) itu dipercayai menanam ganja terbabit untuk kegunaan sendiri.

"Kita percaya suspek tanam sendiri pokok terbabit, namun kita masih menyiasat dari mana benih tanaman itu diperolehnya.

"Kita juga percaya suspek ini sudah terlibat dengan penagihan dadah selama 10 tahun dan dia mempelajari cara menanam pokok terbabit menerusi media sosial," katanya.

Susulan penemuan itu, polis merampas pelbagai alatan penanaman tumbuhan berkenaan antaranya cecair pemusnah serangga, penyukat suhu, lampu pelbagai jenis dan alat pengudaraan.

"Dalam serbuan itu, polis juga merampas kereta milik suspek iaitu Toyota Wish dan wang tunai bernilai RM40,700.

"Nilai keseluruhan rampasan adalah RM61,600 dan suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Jumaat depan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6B, Akta Dadah Berbahaya 1952, yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Penyanyi berkenaan pernah mengaggotai kumpulan nasyid dan kemudian bergerak secara solo.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain