SEBUAH tabung kebajikan bagi membantu golongan artis perlu diperkenalkan agar mereka yang terjejas dapat dibantu secara berterusan untuk kelangsungan hidup. Presiden, Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, cara itu dilihat lebih berkesan bagi membolehkan artis memohon bantuan apabila keadaan mendesak dan bukannya sumbangan diberi secara ad-hoc seperti diamalkan ketika ini. ARTIKEL BERKAITAN: Isu stesen TV kejar rating ambil peserta tiada bakat, Zamani anggap industri seni dah berubah “Sudah tiba masanya kerajaan perlu menyegerakan kaedah terbaik membantu anak seni terutama bagi mereka yang dihimpit kesusahan dengan memperkenalkan tabung khas bagi membolehkan mereka memohon bantuan. “Ketika ini kalau ada artis sakit, mereka hanya dibantu secara ad-hoc. Selepas itu, mereka akan hidup dengan cara lama dan kembali sakit kerana tiada sumber kewangan untuk meneruskan rawatan. Maka perlu ada pendekatan lain diperkenalkan segera iaitu bantuan secara berterusan, iaitu sebuah tabung khas,” katanya kepada mStar pada majlis berbuka puasa pemimpin persatuan itu. Jurey (tengah) bersama Datuk A. Aida (tiga dari kiri), Datin Wendy Wong (empat dari kanan) bersama anggota jawatankuasa PTVM dalam satu majlis berbuka puasa. Jurey mengambil contoh bagaimana besarnya sumbangan seniman Mat Sentol dalam industri seni negara namun ketika mencecah usia 89 tahun, bagaimanakah dia hendak meneruskan kehidupan bagi membantu rawatannya kerana tiada tabung khas bagi tujuan itu? Katanya, semasa pada era kegemilangan, pelawak itu berjaya menghiburkan masyarakat berdasarkan bakatnya namun apabila diuji dengan kesakitan, tiada siapa yang hendak ambil peduli. Selain itu beliau turut mencadangkan jika seseorang anak seni itu mendapat pengiktirafan negara, mereka perlu diberi imbuhan khas sepanjang hayat untuk meneruskan kelangsungan hidup melalui wang diterima terutamanya dalam mendapatkan rawatan tertentu. Jurey Latiff Rosli Jelasnya, masalah kehidupan artis dan cara membantu mereka sudah banyak kali diketengahkan kepada pihak kerajaan namun masih tidak menemui jalan penyelesaian. Justeru beliau berharap pertemuan yang kerap perlu dilakukan oleh pihak kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan pemimpin masyarakat seni agar perkara berkenaan dapat diperhalusi secara serius dan seterusnya dilaksanakan dengan segera. “Perlu ada banyak ‘engagement’ antara pihak kerajaan dan anak seni kalau hasrat ini mahu dilaksanakan. Perkara ini dah banyak kali dibawa untuk dibincangkan namun masih belum dapat dilihat hasilnya,” jelas beliau. Sementara itu menteri KKMM, Tan Sri Annuar Musa ketika melawat pelakon Ahmad Jamil Shuib di Perak pada 20 April lepas mahu meneliti aspek kebajikan golongan artis veteran dan merasakan bantuan terhadap mereka tidak boleh dibuat secara ad hoc. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI