SELEPAS lebih 10 tahun menjuarai program Idola Kecil (2011), penyanyi remaja Trisyia Azman akhirnya muncul dengan single berjudul Berkasih Dalam Larangan. Berkongsi suka duka single pertama itu, ibunya, Noor Fatima Ismail memberitahu dia menghubungi komposer Azmeer di Facebook bagi mendapatkan sebuah lagu yang sesuai. "Sebagai seorang ibu, saya hanya mahu Trisyia bahagia dan berjaya. Saya akan lakukan apa sahaja untuk merealisasikannya. "Saat pertama kali saya mendengar dia menyanyi dan dia beritahu saya tentang minatnya, saya harus memberikan sokongan penuh kepadanya. Trisyia juga merupakan pemenang tempat kedua Juara Popstar 2013. "Ketika itulah saya cuba menghubungi komposer Azmeer. Saya hantar mesej di Facebook sekitar tahun lalu, Alhamdulillah Azmeer baca," katanya. Susulan itu, Noor Fatima berkata, mereka diundang oleh Azmeer ke rumahnya di Shah Alam bagi berbincang lanjut mengenai hal itu. Bagaimanapun, perjalanan mereka ke Shah Alam dari Kuantan, Pahang mengambil masa agak lama disebabkan berdepan dengan pelbagai cabaran. Kata Noor, kereta mereka mengalami kerosakan sehingga terkandas selama lima jam. Trisyia berdepan dengan cabaran. "Azmeer jemput kami sekeluarga ke rumahnya di Shah Alam. Perjalanan dari Kuantan ke Shah Alam memang mencabar... halangan demi halangan. "Kereta mengalami kerosakan, penghawa dingin bocor dan tayar pancit. Selepas lima jam baiki kereta, akhirnya kami tiba juga di rumah Azmeer," ujarnya. Kegigihan dan ketabahan pemenang tempat kedua Juara Popstar 2013 itu berhasil apabila Azmeer mencipta lagu khas untuknya berjudul Berkasih Dalam Larangan. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI