suria

Fify Azmi putih mata, dakwa PA kebas duit RM15,000

Fify buat laporan polis selepas ditipu bekas pembantu peribadi.

HARAPKAN pagar, pagar makan padi, itu yang terjadi kepada pelakon Fify Azmi yang terpaksa berputih mata apabila kerugian sebanyak RM15,000 selepas didakwa dilarikan pembantu peribadinya.

Fify atau nama sebenarnya Nur Afiqah Mohammad Azmi, 32, memberitahu wang tersebut adalah bayaran 50 peratus daripada jumlah keseluruhan filem Special Airforce Anarchy yang dimasukkan ke akaun wanita tersebut tanpa pengetahuannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Fify Azmi tak sangka menang anugerah FFM31, berbaloi potong rambut pendek dalam filem Wira

Terkejut dengan tindakan wanita berkenaan, Fify berkata dia mengenali Nora sejak dua tahun lalu dan sama sekali tidak menyangka individu dipercayai itu tergamak melakukan perbuatan tersebut.

"Saya tidak boleh terima dengan perbuatan menipu yang dia lakukan. Dia secara senyap meminta pihak akaun Skop masukkan duit ke akaun bank miliknya tanpa pengetahuan saya.

"Kalau boleh saya tidak mahu perbesarkan hal ini sehingga buat laporan polis, tetapi jumlah tersebut agak besar dan saya mahu memberi peringatan kepada orang lain supaya lebih berhati-hati.

Dia secara senyap meminta pihak akaun Skop masukkan duit ke akaun bank miliknya tanpa pengetahuan saya

FIFY AZMI

PELAKON

"Sebelum ini saya pernah diberitahu tentang sikap Nora, namun tidak ambil peduli kerana dia baik dengan saya dan anggap mungkin dia sudah berubah," katanya kepada mStar ketika dihubungi pada Selasa.

Fify membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya, Selangor pada Isnin dan memaklumkan kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Dalam masa sama, Skop Production yang juga menjadi salah satu pihak terlibat turut memberi kerjasama baik berhubung kes ini.

fify 1

Fify harap kes ini juga dapat beri pengajaran kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati.

"Semestinya pihak Skop juga bengang kerana mereka juga ditipu. Mereka sama turun sekali membuat laporan berhubung kes ini. Mereka memberi kerjasama baik dan berharap kes ini tidak menjejaskan saya di lokasi penggambaran.

"Buat masa sekarang pihak polis masih dalam siasatan. Saya ada berhubung dengan Nora dan dia maklumkan tiada duit untuk membayar semula. Jadi semuanya saya serahkan kepada polis," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain