suria

Linda Onn ralat Adibah Noor jauhkan diri, tak tahu arwah derita kanser… Terkenang sikap pemurah suka belanja makan

PERNAH bekerja di bawah stesen radio yang sama iaitu Suria FM, pemergian Allahyarham penyanyi Adibah Noor memberi kesan mendalam kepada selebriti Linda Onn.

Mempunyai hubungan yang rapat, Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn mendedahkan Adibah tidak pernah berkira dalam soal membayar makan ketika keluar bersama.

"Terlalu banyak kebaikan arwah, tapi ada satu perangai dia yang saya akan ingat sampai bila-bila. Kalau keluar, tak kira berapa ramai pun kita, berapa ratus ringgit jumlah makanan bersama kawan, dia akan bayarkan.

"Percaya saya, tak pernah sekali pun kita keluar makan, dia tak bayar. Sampai satu tahap, kita curi-curi, saya cakap dekat suami ‘you pergi kaunter, bayar sekarang sebelum Adibah bayar’," cerita Linda mengimbas kenangan bersama arwah kepada mStar.

ADIBAH

Adibah seorang yang pemurah.

Menganggap Adibah seorang yang sangat pemurah, Linda juga berkata, dia bimbang dengan keadaan kucing-kucing arwah.

"Ya Allah dia pemurah sangat, macam itu la dia dengan kucing-kucing dia. Sekarang apabila dia pergi, saya terbayang macam mana kucing-kucing arwah," katanya.

Bekas penyampai radio itu ditemui ketika menunggu pengurusan jenazah arwah Adibah Noor di di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Suria FM Sangkal Pengunduran Tiga Penyampai Akibat Salah Faham

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Fazley Yaakob terkilan tak sempat tunai permintaan Adibah Noor... Masih ingat ayat ‘I'm not well my dear’ semasa GV8

Kalau siapa kenal, rapat dengan dia, semua akan faham maksud saya.

LINDA ONN

RAKAN SELEBRITI

Adibah Noor, 52, disahkan meninggal dunia sekitar pukul 7.40 malam, Sabtu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas alami sesak nafas.

Menurut pengurusnya yang dikenali sebagai Todd, Allahyarham sudah lama menghidap kanser, namun perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Dalam pada itu, selebriti berusia 44 tahun ini memuji sikap Allahyarham yang sentiasa membuatkan rakan-rakan berasa selesa dengannya.

Menurut Linda, dia dan Adibah selalu meluangkan masa bersama sehingga berjam-jam namun agak terkilan apabila arwah mula menjauhkan diri selepas Perlaksanaan Perintah Kawalan (PKP) berakhir.

Adibah

Lebih 100 orang hadir di pengebumian Allahyarham Adibah.

"Saya tak pernah rasa dia selebriti atau popular... dia buat kita rasa selesa dan lama kenal. Kalau siapa kenal, rapat dengan dia, semua akan faham maksud saya.

"Sudah tentu kali terakhir bekerja sama di radio. Tapi kami kerap berjumpa selepas itu. Dia lepak rumah saya, berbuka puasa sama sampai sahur. Kita kalau jumpa bukan sejam dua.

"Bayangkan kalau jumpa, sebelum buka puasa sampailah sahur. Itu cara kami jumpa... kadang-kadang setengah hari.

"Cuma masa PKP itu, tak jumpa dan selepas PKP, dia menjauhkan diri. Itu yang saya ralat sangat, kenapa dia tak jumpa? Kenapa dia jauhkan diri," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain