suria

Aliff Aziz pilu dapat tahu Adibah Noor dah tiada... Syukur diberi kesempatan tatap wajah arwah kali terakhir, usung jenazah ke van

Aliff sempat menatap wajah Adibah Noor buat kali terakhir.

MENERIMA khabar sedih ketika sedang menjalani penggambaran drama bersiri di Cyberjaya, penyanyi dan pelakon Aliff Aziz terus bergegas ke hospital untuk menziarahi jenazah Allahyarham penyanyi Adibah Noor.

Biarpun menyedari ajal maut di tangan Allah, namun Aliff mengakui dia dan rakan sepejuangan dalam program Gegar Vaganza Musim kelapan (GV8) sukar menerima kenyataan penyanyi itu sudah tiada.

Bagaimanapun, suami kepada aktres Bella Astillah itu tetap bersyukur kerana berpeluang untuk menatap wajah dan mengusung jenazah ke dalam van.

"Walaupun kita sudah tahu ajal kita semua akan sampai bila-bila masa saja, tapi ia agak sukar untuk kami sekeluarga di GV8 menerima berita pemergiannya.

ALIFF AZIZ

Aliff bersama rakan artis di hospital pada malam, Sabtu.

"Selepas saya dapat tahu daripada keluarga GV8 kami, saya terus bergegas dari Cyberjaya. Dan Alhamdulillah, Allah izinkan untuk saya melihat wajahnya buat kali terakhir dan mengusung jenazah ke van.

"Jujurnya, ia sangat memilukan. Dan bagi saya sebenarnya dia merahsiakan kesakitannya dari orang ramai kerana tidak mahu kita risau. Saya dan juga Bella yang kini di Singapura mendoakan yang terbaik buatnya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Adibah Noor derita kanser ovari, baru selesai jalani pembedahan

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Fazley Yaakob terkilan tak sempat tunai permintaan Adibah Noor... Masih ingat ayat ‘I'm not well my dear’ semasa GV8

Selepas saya dapat tahu daripada keluarga GV8 kami, saya terus bergegas dari Cyberjaya.

ALIFF AZIZ

PENYANYI

Penyanyi berusia 31 tahun itu antara rakan selebriti yang turut datang ke hospital sebaik saja dimaklumkan mengenai pemergian Adibah.

Adibah Noor, 52, disahkan meninggal dunia sekitar pukul 7.40 malam, Sabtu di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur selepas alami sesak nafas.

Menurut pengurusnya yang dikenali sebagai Todd, Allahyarham sudah lama menghidap kanser, namun perkara itu dirahsiakan daripada pengetahuan umum.

Aliff Aziz

Aliff dan rakan sepejuangan GV8 bersama Adibah.

Berkongsi mengenai keperibadian Allahyarham Adibah, Aliff berkata dia adalah seorang yang sangat tegas, tapi pada masa sama penyayang.

"Beliau juga seorang wanita yang berdikari. Allahyarham banyak berkongsi cerita mengenai kehidupan dan bagaimana dia menjalani kehidupan sendirian bersama kucing-kucingnya.

"Semasa di GV8, dia banyak membantu peserta memperbetulkan bahasa Inggeris kami. Dari situ memperlihatkan sisinya yang penyayang dan mengambil berat mengenai orang lain," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain