suria

Serik kongsi kisah cinta, Ruhainies nak kukuhkan nama dalam industri seni

Ruhainies enggan jaja kisah cinta lagi.

STATUS hubungan cinta Ruhainies dengan kekasih yang dikenali sebagai Mr E menjadi tanda tanya memandangkan aktres tersebut sudah tidak lagi berkongsi mengenai teman lelakinya itu.

Bagaimanapun, pelakon berusia 29 tahun ini berkata dia tidak mahu lagi menjaja kisah cintanya sehingga peminat terlepas pandang perkembangan kerjaya seninya.

Bagi pemilik nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas itu, dia tidak kisah jika netizen mahu membuat pelbagai spekulasi mengenai status hubungannya dengan Mr E, ketika ini.

"Saya tidak mahu mengulas sama ada kami masih menjalinkan hubungan cinta atau sudah putus. Cukuplah dengan apa yang pernah dikongsikan pada peminat sebelum ini.

RUHAINIES

Ruhainies mahu fokus kerjaya.

“Saya mahu fokus mengukuhkan nama dalam kerjaya seni terlebih dahulu. Sebagai pelakon, saya tidak mahu dikenali sebagai pelakon drama sahaja.

"Sebaliknya mahu juga melebarkan sayap ke layar perak pula," kata Ruhainies kepada mStar.

Ditanya adakah Mr E tidak kecewa melihat keakrabannya dengan pelakon kontroversi, Zul Ariffin, Ruhainies mengakui, setiap apa yang dilakukan mengikut keputusan sendiri.

"Saya rapat dengan Zul sebagai sahabat dan rakan artis. Sebab itu, saya pilih Zul menjadi gimik dalam klip video malam berinai yang dimuat naik menerusi laman sosial, sebelum ini," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu mesra dengan hero, Ruhainies hanya ikut skrip... Masih tahu jaga batas, tak melebih-lebih

Saya rapat dengan Zul sebagai sahabat dan rakan artis.

RUHAINIES

PELAKON

Hubungan Ruhainies dengan Zul mula diperkatakan selepas video dan foto aksi mereka menjadi tular.

Bagaimanapun, Ruhainies menafikan dakwaan dia dan pelakon filem Sangkar itu menjalinkan hubungan cinta.

Menyentuh filem bergenre seram, Musyrik - Api Neraka Menantimu!, Ruhainies berkata, dia teruja berpeluang membintangi karya bergenre seram.

Menerusi filem arahan Arjin Uppal itu, Ruhainies bergandingan dengan Ashraf Muslim dan Aeril Zafrel selaku teraju utama.

"Saya seorang penakut, tetapi Arjin berjaya memujuk saya berlakon dalam filem seram ini. Saya bertuah bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Ashraf dan Aeril dalam filem ini.

ruhainies hantu

Ruhainies bintangi filem seram.

"Aeril banyak membantu memberi tunjuk ajar untuk saya menjiwai karakter Farah seperti tuntutan watak,” katanya.

Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd turut menampilkan barisan pelakon seperti Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Mengulas soal lakonan, Ruhainies berkata, dia berdepan cabaran ketika melakonkan babak dirasuk dalam filem itu.

"Penggambaran filem ini banyak dilakukan pada waktu malam dan babak dirasuk dibuat pada jam 3.30 pagi. Mujur babak Farah dirasuk turut dibantu dengan elemen imej janaan komputer (CGI) untuk menghidupkan lagi karakter," katanya.

Filem Musyrik - Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem disiarkan pukul 6 petang pada 15 Jun lalu menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies.`

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain