AKIBAT terlalu penat dan kekurangan air dalam badan, pelakon Alya Iman terpaksa mendapatkan rawatan di unit kecemasan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur pada Sabtu. Alya atau Nur Alya Iman Azmil berkata, dia mula berasa lemah dan tidak sedap badan sejak pagi semalam selain perasan kulitnya menjadi kering. Alya tidak berehat lama walau keadaan kurang sihat. "Memang tak cukup minum air dan badan pun mula rasa panas semalam sehingga saya rasa terlalu lemah. Kulit pun jadi kering disebabkan kekurangan air. "Jadi saya terus ke hospital dan hanya menerima rawatan di unit kecemasan sahaja. Keadaan sekarang semakin baik dan saya hanya makan ubat yang diberikan doktor," katanya ketika dihubungi mStar pada Ahad. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hanya bertahan dua tahun, akhirnya hubungan cinta Alya Iman dengan duda berakhir Ini bukan kali pertama Alya mendapatkan rawatan di hospital akibat masalah sama dan faktor tekanan turut menyumbang dia sering sakit sejak kebelakangan ini. "Ini adalah satu dugaan. Saya tidak mengalami sebarang masalah sakit yang serius. Hanya badan ini sahaja yang 'manja' sikit... Mungkin tekanan juga buat saya sering sakit," ujarnya. Meskipun kesihatannya terganggu, Alya bagaimanapun enggan mengambil cuti sakit sebaliknya terus ke lokasi penggambaran drama Kau Tak Punya Hati selepas ke hospital. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip, work until you cannot work ALYA IMAN PELAKON Berpegang pada prinsip kerja selagi mampu, Alya berkata, dia tidak mahu membebankan kru produksi jika tidak dapat menghadiri penggambaran serta menyusahkan pihak lain. "Saya memang seorang yang kuat bekerja, jadi selepas mendapatkan rawatan saya terus ke lokasi penggambaran itu pun jadual saya yang sepatutnya sebelah pagi terpaksa ditangguhkan pada waktu petang. "Saya tidak mahu susahkan orang lain, kalau saya ambil cuti, ia akan memberi kesan kepada produksi. Saya sentiasa berpegang kepada prinsip, work until you cannot work," jelasnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI