suria

“Marilah kita bermaaf-maafan” - Penerbit Mat Kilau dah hantar surat minta maaf harap Finas tak besarkan isu

Abdul Rahman sudah mengemukakan surat permohonan maaf kepada pihak Finas.

STUDIO Kembara Sdn Bhd selaku penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan sudah berusaha untuk bersemuka dengan pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi membincangkan isu kesilapan berhubung syarat pemberian kredit penghargaan kepada agensi itu.

Penerbit filem itu, Abdul Rahman Mat Dali berkata, pihaknya juga sudah menghantar surat rasmi sebagai tanda permohonan maaf atas kesilapan yang berlaku dan menyifatkan insiden itu sebagai bukan disengajakan.

"Surat sudah pun di hantar sebagai tanda permohonan maaf kami atas kesilapan yang berlaku. Sebagai pihak yang masih baru, ada beberapa perkara mungkin berlaku tanpa sengaja," katanya kepada mStar.

Barisan Pelakon

Barisan pelakon yang membintangi filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

Abdul Rahman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim yang mengarahkan peguam menyemak isu kegagalan penerbit filem itu kerana dipercayai tidak mematuhi perjanjian berhubung syarat kredit atau rujukan penghargaan atas kerjasama agensi itu dalam merealisasikan projek terbabit.

ARTIKEL BERKAITAN: Filem Syamsul Yusof box office lagi! ‘Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan’ kutip RM47 juta dalam masa 11 hari, bakal atasi ‘Munafik 2’

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa sangka penerbit ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan’ bukan orang filem, 30 tahun tak jejak panggung wayang

Md Nasir berkata, penerbit perlu memasukkan logo Finas dalam bahan bercetak berkaitan filem berkenaan, namun, perkara ini gagal dilakukan dan hanya dimasukkan selepas tujuh hari Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan ditayangkan di pawagam.

Difahamkan, projek filem itu menerima dana daripada Finas sebanyak RM1.5 juta.

Jangan dihilangkan sifat kematangan sehingga menimbulkan jiwa keanak-anakkan.

ABDUL RAHMAN MAT DALI

PENERBIT MAT KILAU KEBANGKITAN PAHLAWAN

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, insiden itu memberi pengajaran kepada pihaknya agar bersikap lebih berhati-hati dan berharap isu itu tidak diperbesarkan.

"Saya mengharapkan perkara ini tidak diperbesarkan dan marilah kita sama-sama menyahut semangat Mat Kilau yang menitikberatkan soal perpaduan, penyatuan dan saling bermaaf-maafan.

"Jangan dihilangkan sifat kematangan sehingga menimbulkan jiwa keanak-anakkan," tambahnya.

Mat Kilau

Filem arahan Syamsul Yusof ini berjaya mendapat kutipan hampir RM50 juta di pawagam.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang mula ditayangkan pada 23 Jun lalu mencipta sejarah luar biasa apabila ia berjaya mencapai kutipan hampir RM50 juta dalam tempoh hanya dua minggu.

Ia menampilkan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Fattah Amin, Khir Rahman, Beto Kusyairy, Wan Hanafi Su dan Yayan Ruhian dan diarahkan oleh Syamsul Yusof.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain