suria

Terharu sokongan peminat, Dewa 19 tambah satu malam lagi konsert di Kuala Lumpur

Konsert Dewa 19 di Kuala Lumpur ditambah satu malam lagi selepas tiket yang dijual habis terjual dalam tempoh sejam.

TIDAK sampai sejam, tiket Konsert 30 Years of Dewa 19 yang mula dijual pada Isnin lalu habis terjual sehinggakan ramai peminat kumpulan terkenal Indonesia itu melahirkan rasa kecewa.

Namun peminat melahirkan rasa lega apabila vokalis dan gitaris kumpulan itu, Ahmad Dhani mengumumkan konsert di Kuala Lumpur ditambah satu lagi tarikh iaitu sehari lebih awal iaitu pada Jumaat, 9 September 2022 di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Ahmad Dhani dalam kenyataan di Instagram Dewa 19 melahirkan rasa terharu dan bangga dengan sambutan luar biasa terhadap konsert kumpulan itu di Malaysia.

"Dalam tempoh sejam tiket habis terjual, kami sangat berbesar hati dengan sokongan Baladewa dan Baladewi di Malaysia khususnya Kuala Lumpur.

"Oleh itu, Dewa 19 menambah satu lagi malam konsert pada hari Jumaat, 9 September 2022. Jangan berlengah lagi, dapatkan tiket konsert bermula pukul 3 petang, Selasa, 19 Julai 2022," katanya.

Ahmad Dhani juga memberitahu Malaysia adalah satu-satunya lokasi kumpulan itu muncul dengan dua konsert.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiket sold out dalam tempoh sejam, peminat teruja tunggu gabungan 4 vokalis Dewa 19 di KL

Istimewa konsert ini, kesemua empat vokalis yang pernah menganggotai Dewa 19 turut hadir membuat persembahan iaitu Ari Lasso, Once Mekel, Virzha dan Ello selain Ahmad Dhani yang menjadi tulang belakang kumpulan ini.

Dalam konsert jelajah kali ini, Dewa 19 mengadakan persembahan di 30 buah lokasi termasuk Kuala Lumpur dan akan menyanyikan 30 lagu-lagu popular mereka sebagai simbolik tiga dekad dalam industri.

Peminat boleh mendapatkan tiket di www.ticket2u.com.my. dan tiket dijual pada harga RM148 sehingga RM488.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain