suria

Bimbang emosi isteri terganggu, Azmi Saat takut nak tanya soal anak... Akui masih rasa kehilangan

Azmi hormati keputusan isteri dalam soal memiliki cahaya mata.

PERNAH melalui pengalaman sedih kehilangan anak yang baru tiga hari dilahirkan, penyanyi Azmi Saat mengakui belum bersedia untuk menyuarakan hasrat kepada isterinya iaitu Nazirah Muhamad mengenai perancangan memiliki cahaya mata.

Menurut Azmi yang juga merupakan anggota kumpulan Caliph Busker, dia bimbang jika soalan tersebut boleh mengganggu emosi isterinya yang masih bersedih selepas anak sulung mereka yang diberi nama Khairul Afnan meninggal dunia pada September tahun lalu.

"Takut juga nak bertanya kepada isteri tentang anak. Namun pernah sekali pada awal tahun saya suarakan untuk melakukan rawatan supaya boleh dikurniakan cahaya mata lagi.

azmi saat 2

Isteri Azmi belum sedia memiliki cahaya mata.

"Isteri saya belum bersedia selepas kehilangan anak kami. Katanya jika dikurniakan secara semula jadi dia seronok, namun untuk melakukan rawatan dia takut jika perkara sama terjadi.

"Saya hormati keputusan isteri dan kami tidak lagi bercakap soal anak selepas itu. Jadi kami sentiasa penuhkan masa dengan aktiviti yang menggembirakan," katanya.

Azmi berkata demikian ketika majlis pelancaran lagu baharunya berjudul Permataku yang diadakan di Pejabat Indigital, Petaling Jaya, Selangor pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Anak Azmi Saat meninggal dunia akibat kegagalan fungsi otak - “Tunggu kami di syurga ya”

ARTIKEL BERKAITAN: Dapat ‘soalan maut’ tentang kahwin lain, Azmi Saat kongsi cerita isteri tak pernah salah... Netizen siap bagi nasihat!

Berkongsi keadaan isterinya itu, Azmi berkata ada ketika rasa sedih itu akan datang secara tiba-tiba dan mereka akan menziarahi pusara anaknya itu.

Sementara itu, Azmi memberitahu dia tidak mahu terlalu menunjukkan perasaan sedih kerana lebih memikirkan emosi isterinya.

"Sekarang ini isteri saya sudah semakin okey. Cuma ada ketika perasaan sedih itu akan datang tiba-tiba. Dia akan minta untuk ziarah kubur anak untuk lepaskan rindu.

Katanya jika dikurniakan secara semula jadi dia seronok, namun untuk melakukan rawatan dia takut jika perkara sama terjadi

AZMI SAAT

PENYANYI

"Saya pula tak boleh nak sedih. Saya reda dan selepas dapat azankan bayi kami, uruskan jenazah, saya rasa perasaan sedih itu tidaklah keterlaluan," ujarnya.

Untuk rekod, Khairul Afnan meninggal dunia selepas tiga hari dilahirkan akibat kegagalan fungsi otak.

Bayi lelaki yang dilahirkan pada 27 September 2021 itu merupakan cahaya pertama mereka selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.

azmi saat 3

Azmi kongsi perasaan sendiri dalam lagu baharu.

Bercakap tentang lagu baharu ciptaan bersama Ajai dan Ahmad Fedtri Yahya itu, ia merupakan luahan dari hati Azmi sendiri berdasarkan pengalaman sebelum ini.

"Apabila mendengarkan sahaja lirik tersebut buat kali pertama, saya gembira sebab ia memang merupakan isi hati saya. Tak ada sebarang perubahan yang dilakukan kerana saya percaya ini yang terbaik.

"Tapi apabila kami memulakan penggambaran video muzik (MV), pihak produksi ada bertanyakan sama ada boleh mengaitkan gambaran anak atau tidak. Saya okey sahaja memandangkan ini memang idea asal," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain