suria

Dulu penyanyi nasyid, Naufal Azrin dituduh murtad selepas lagu 'Casablanca' popular

Naufal tidak terlepas dari kecaman ketika nama sedang popular.

DI SEBALIK kejayaan lagu Casablanca yang kini semakin popular dalam kalangan pendengar, penyanyinya iaitu Naufal Azrin turut berdepan dengan kecaman sesetengah pihak sehingga ada yang menggelarkan dirinya murtad.

Menurut Naufal, 23, kecaman tersebut disebabkan dia sebelum ini pernah tampil dengan kumpulan nasyid Zayne dan kini dilihat beralih kepada genre muzik berbeza.

"Saya baca komen-komen yang diberikan oleh netizen, ada yang katakan saya murtad kerana sebelum ini menyanyi nasyid dan sekarang keluar dengan lagu Casablanca.

naufal 2

Naufal terima semua teguran dengan hati terbuka.

"Memang rasa tertekan juga apabila mendapat kecaman begitu, namun apa boleh buat? Kita tidak boleh nak tutup mulut orang lain, biarkanlah mereka nak bercakap.

"Mujurlah komen tersebut hanya di media sosial, jadi tidaklah memberi kesan sangat kepada saya.

"Sebagai penyanyi, rasanya saya perlu fleksibel. Kalau lagu sebegini boleh serlahkan bakat saya, apa salahnya untuk teruskan sahaja," katanya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Berbahasa Arab dalam 'Casablanca', Naufal Azrin rupanya hafaz al-Quran

ARTIKEL BERKAITAN: Angkat ‘vibe’ Waheeda, Nuha Bahrin tak sangka ‘Casablanca’ raih 3 juta tontonan

Dalam masa sama, baru-baru ini lirik lagu nyanyian bersama Nuha Bahrin ini turut menjadi bualan ramai termasuk guru bahasa Melayu kerana dikatakan terdapat penyalahgunaan tatabahasa.

Menerima dengan hati terbuka pandangan semua pihak, Naufal juga tidak menolak isu tersebut menjadi faktor lagu nyanyiannya mendapat sambutan hangat.

"Lirik yang ditulis adalah luahan penulis. Jadi saya rasa sama ada degub atau denyut sama sahaja. Dalam lirik lagu juga dibenarkan untuk menggunakan apa sahaja perkataan yang kena dengan hati penulis.

Kita tidak boleh nak tutup mulut orang lain, biarkanlah mereka nak bercakap

NAUFAL AZRIN

PENYANNYI

"Setiap orang ada pendapat masing-masing. Saya terima semua yang diperkatakan untuk lebih maju ke depan," jelasnya.

Sementara itu, Naufal juga meluahkan rasa syukur apabila lagu ini berjaya meraihkan jumlah tontonan sebanyak 10 juta di Youtube dalam tempoh kurang sebulan dilancarkan.

Tidak memilih dalam soal pemilihan genre lagu, Naufal menyerahkan semuanya kepada syarikat pengurusan untuk menentukan hala tuju muzik yang bakal ditampilkan pada masa akan datang.

naufal 3

Kolaborasi Naufal dan Nuha dalam Casablanca kini vira sehingga ke Indonesia.

"Kami tidak meletakkan harapan untuk lagu ini jadi viral. Syukur dengan sambutan yang sangat baik sehingga berjaya mencecah 10 juta tontonan.

"Untuk pemilihan lagu selepas ini saya tidak tahu lagi kerana menyerahkan semua kepada pihak pengurusan. Terima sahaja apa sahaja jalan yang telah ditetapkan," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain