FESTIVAL Filem Malaysia (FFM) edisi ke-32 bakal memperkenalkan kategori terbaharu iaitu Filem Antarabangsa Terbaik sebagai langkah mengangkat karya tempatan di luar negara. Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkata, pihaknya mensasarkan pencalonan dari 10 buah negara untuk kategori itu dan sudah pun menerima maklum balas dari beberapa buah negara termasuk Indonesia, Thailand, India dan Pakistan. "Tujuan anugerah ini diwujudkan adalah sebagai langkah pengantarabangsaan filem kita. Sudah tiba masanya karya tempatan ke luar negara. Tidak hanya itu, ia juga boleh dijadikan penanda aras kualiti filem tempatan dan karya luar. "Kami mensasarkan pencalonan 10 buah filem dan juri-juri bagi kategori ini juga turut melibatkan wakil pengkarya filem dari luar negara," katanya. Md Nasir berkata demikian ketika sidang media pertama FFM32 yang diadakan di Royal Selangor International, Kuala Lumpur pada Selasa. FFM32 bakal berlangsung pada 2 Disember depan dan edisi kali ini akan diadakan di Melaka. ARTIKEL BERKAITAN: Tampil pemain bola sepak sebenar sebagai pelakon, Anak Rimau The Movie mampu tarik anak muda minat sukan ARTIKEL BEKAITAN: 15 kali tonton air mata tetap berderai, Ahmad Tarmimi Siregar harap ‘Perjalanan Pertama’ turut sentuh hati penonton Dalam pada itu, Md Nasir berkata, selain Filem Antarabangsa Terbaik, FFM32 turut memperkenalkan dua lagi kategori iaitu Anugerah Seniwati Sepanjang Zaman dan Anugerah Filem Pendek Terbaik. Md Nasir memberitahu tahun ini menyaksikan sebanyak 22 kategori dipertandingkan dan pencalonan dibuka bermula 23 Ogos 2022 sehingga 30 September 2022. Manakala filem yang layak dipertandingkan adalah karya yang dikeluarkan bermula 15 Julai 2021 sehingga 30 September 2022. "Setakat ini sebanyak 23 filem tempatan telah ditayangkan. Pencalonan dibuka untuk karya yang bukan sahaja di pawagam tetapi Astro First selain menepati syarat Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) serta durasi tidak kurang daripada 60 minit. "Penjurian masih menggunakan konteks sama seperti edisi sebelum ini. Barisan juri adalah mereka yang berpengalaman dan sesuai dengan keperluan setiap kategori. “Filem tempatan yang ditayangkan di aplikasi penstriman seperti Netflix dan Viu bagaimanapun tidak dipertandingkan,” jelasnya. Mengisi penganjuran kali ini, pelbagai program sisipan lain turut dirancang bagi memeriahkan sambutan dalam memberi pendedahan kepada masyarakat tentang industri filem tempatan. Antara yang bakal dilaksanakan adalah tayangan filem dipertandingkan, sesi bertemu calon FFM32, tayangan filem kenegaraan dan bengkel bersama Finas. FFM32 mengangkat tema Filem Kita Citra Kita merupakakan anjuran Finas dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta RTM sebagai penyiar rasmi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI