suria

Haqiem Rusli pelik ‘Mimpi’ tak tercalon, pihak pengurusan minta semak semula penjurian AIM23

Nama Haqiem langsung tidak tersenarai dalam calon akhir AIM23.

PENYANYI Haqiem Rusli terkejut apabila lagu nyanyiannya berjudul Mimpi langsung tidak tersenarai dalam calon akhir Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).

Menurut Haqiem, 24, ketiadaan lagu tersebut dalam mana-mana kategori menimbulkan keraguan memandangkan karya tersebut sebelum ini pernah meraih tempat ketiga dalam Anugerah Juara Lagu 36 (AJL36) Mac lalu.

“Saya sedikit hairan apabila diberitahu bahawa lagu Mimpi tidak tersenarai langsung dalam top 5 AIM kali ini. Ia menimbulkan tanda tanya adakah lagu itu tidak bagus?

haqiem 3

Haqiem serahkan kepada pihak pengurusan untuk minta semakan semula calon AIM23.

“Namun saya yakin Allah telah atur rezeki itu dengan baik. Saya serahkan perkara ini kepada pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar pada Sabtu.

Sementara itu wakil pengurusan Haqiem iaitu FMC Music memberitahu pihak mereka sudah menghantar lagu tersebut untuk pencalonan dalam enam kategori.

ARTIKEL BERKAITAN: Ungguli senarai pencalonan AIM23, Dayang Nurfaizah sifatkan ‘Belagu’ projek dekat di hatinya

ARTIKEL BERKAITAN: Perniagaan terjejas selepas pelanggan tular video di media sosial, Haqiem Rusli enggan ambil tindakan

Dalam masa sama, pihaknya juga meminta agar keputusan calon akhir disemak semula kerana yakin lagu ciptaan Haqiem dan Datuk A Aida itu layak tersenarai dalam salah satu kategori.

“Malangnya lagu ini tidak tersenarai dalam mana-mana kategori meskipun kami telah hantar untuk enam pencalonan. Ini menimbulkan keraguan dan tanda tanya pada pihak kami.

Ia menimbulkan tanda tanya adakah lagu itu tidak bagus?

HAQIEM RUSLI

PENYANYI

“Jika lagu ini lagu tidak pernah mendapat pengiktirafan juri profesional, pastinya kami tidak akan mempertikaikan senarai calon akhir.

“Kami berharap keputusan calon akhir AIM yang diumumkan baru-baru ini disemak semula. Kami sangat yakin Mimpi layak untuk berada sekurang-kurangnya dalam beberapa kategori,” jelas wakil FMC Music.

Pihak FMC telah menghantar lagu tersebut untuk dicalonkan dalam kategori Lagu Pop Terbaik, Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki), Susuan Muzik Terbaik, Rakaman Lagu Terbaik, Runut Bunyi (OST) Terbaik Dalam Drama dan Muzik Video Terbaik.

haqiem 1

Lagu Mimpi mendapat tempat ketiga di AJL36.

Senarai akhir calon AIM23 telah diumumkan dalam satu sesi sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

AIM23 bakal berlangsung pada 11 September ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Bagi edisi kali ini, pihak penganjur menerima 650 pencalonan bagi karya yang diterbitkan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 dan hanya 105 daripadanya disenarai pendek menerusi 21 kategori yang dipertandingkan.

Penjurian bagi menentukan pemenang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz, Fauzi Marzuki dan lain-lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain