suria

Lagu ciptaan sendiri tercalon AIM23 jadi pembakar semangat buat Aliff Iskandar

Aliff bangga lagu ciptaannya tercalon AIM23.

PENYANYI Aliff Iskandar meluahkan rasa syukur apabila lagu ciptaannya berjudul Bahagiakan Dia berjaya tersenarai sebagai calon akhir Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM23).

Meskipun lagu nyanyian sendiri tidak berjaya menembusi calon top 5, Aliff, 22, tetap berbangga apatah lagi bersaing dengan komposer hebat tanah air.

“Tak sangka lagu tersebut tercalon untuk dua kategori. Pastinya saya bersyukur dan berbangga dengan pencapaian ini. Saya masih baru dalam dunia seni dan menjadi calon AIM adalah satu pengiktirafan buat saya.

“Komposer yang bertanding semuanya ada pengalaman luas dalam industri. Ada antara mereka pernah bertanding di AIM dan menang di Anugerah Juara Lagu. Saya rasa diri ini amat kerdil berbanding mereka.

aliff 2

Aliff mahu terus hasilkan karya hebat.

“Walau lagu nyanyian sendiri tidak tercalon, sekurang-kurangnya saya boleh kukuhkan nama sebagai komposer dalam industri muzik tempatan,” katanya kepada mStar.

Lagu nyanyian Shila Amzah dan Liza Hanim itu dicalonkan untuk kategori Runut Bunyi (OST) Terbaik Dalam Drama/Filem dan Persembahan Duo/Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ungguli senarai pencalonan AIM23, Dayang Nurfaizah sifatkan ‘Belagu’ projek dekat di hatinya

ARTIKEL BERKAITAN: Haqiem Rusli pelik ‘Mimpi’ tak tercalon, pihak pengurusan minta semak semula penjurian AIM23

Bagi kategori Runut Bunyi Terbaik, Aliff bersaing dengan lagu Coretan Pilu ciptaan Ikhwan Fatanna, Wan Saleh dan Fadtri Yahya, Khilaf Asmara (Amylea), Memandangmu (Aidit Alfian, Raja Ahmad Mukhlis & Bakhtiar Affendy) serta Cinta (Bunga Cantik & Hang Nadim).

Melihat nama-nama yang tercalon, ia bukan sekadar membuat Aliff rasa berdebar malah turut menjadi pembakar semangat buatnya menghasilkan lebih banyak karya bermutu di masa akan datang.

Dalam masa sama, Aliff juga tidak mahu berputus asa untuk mencipta lagu nyanyian sendiri agar lebih ramai yang sedar akan kemampuannya sebagai komposer dan penyanyi.

Saya melihat pencalonan kali ini sebagai pembakar semangat untuk terus bekarya.

ALIFF ISKANDAR

PENYANYI

“Saat diumumkan sebagai calon, saya sudah mula rasa berdebar dan dalam masa sama turut teruja. Kalah atau menang, saya tetap bangga dengan pencalonan ini.

“Saya melihat pencalonan kali ini sebagai pembakar semangat untuk terus bekarya. Meskipun telah menghasilkan beberapa lagu sebelum ini, saya anggap ini adalah satu permulaan baik dalam kerjaya,” jelasnya.

Senarai akhir calon AIM23 telah diumumkan dalam satu sesi sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

aliff 1

Shila dan Liza Hanim juga tercalon untuk Persembahan Duo/Kolaborasi Terbaik Dalam Lagu.

AIM23 bakal berlangsung pada 11 September ini di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria.

Bagi edisi kali ini, pihak penganjur menerima 650 pencalonan bagi karya yang diterbitkan dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022 dan hanya 105 daripadanya disenarai pendek menerusi 21 kategori yang dipertandingkan.

Penjurian bagi menentukan pemenang diketuai oleh Datuk Mokhzani Ismail, Omar K, DJ Fuzz, Adi Priyo, Shah Slam, Datuk Syafinaz Selamat, Datuk Acis, Datuk Afdlin Shauki, Mas Idayu, Noryn Aziz, Fauzi Marzuki dan lain-lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain