KEMUNCULAN pendakwah bebas Asni Mansor menerusi segmen Morning Morning Suria pada pagi Jumaat menjadi topik hangat di media sosial apabila ramai bertanya tentang keberadaan Pencetus Ummah (PU) Azman yang sepatutnya mengendalikan segmen tersebut di Suria FM. Rata-rata mula membuat spekulasi ketiadaan PU Azman atau Cik Man disebabkan desas-desus mengaitkan dirinya dengan satu kes jenayah sedang hebat diperkatakan ketika ini dan kemunculan Asni sebagai penggantinya yang baharu. Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin bagaimanapun meminta pendengar menghentikan spekulasi yang tular termasuk membuat sebarang andaian berhubung segmen berkenaan. Kata DJ Lin atau Roslinda Abdul Majid, ketika ini pihak stesen menjemput beberapa pendakwah bagi mengisi kekosongan segmen itu yang dikendalikan oleh Ajak, Shuib dan Suraya pada pukul 8 hingga 9 pagi. DJ Lin menjelaskan setiap minggu pihaknya akan membawakan ustaz atau ustazah jemputan. "Buat masa ini, pihak Suria FM memang mengetengahkan atau menjemput beberapa ustaz atau ustazah untuk ke udara setiap Jumaat kerana kita tidak mahu segmen tersebut kosong. "Pengisian program kena terus berjalan kerana segmen tersebut memiliki pengikutnya yang tersendiri setiap Jumaat," katanya ketika dihubungi mStar. ARTIKEL BERKAITAN: Nama PU Azman jadi sebutan di media sosial sebagai penceramah terlibat jenayah seksual ARTIKEL BERKAITAN: Kenal mangsa dalam program motivasi, penceramah bebas didakwa lakukan amang seksual direman 6 hari Dalam pada itu, DJ Lin berkata, segmen berkenaan adalah laluan untuk para pendengar bertanyakan sebarang kemusykilan tentang agama yang akan dijawab oleh ustaz atau ustazah jemputan. Jelasnya lagi, segmen itu juga adalah sebagai tanggungjawab sosial Suria FM yang perlu diteruskan apatah lagi ia mendapat sambutan daripada pendengar Suria FM. DJ Lin juga minta menghentikan sebarang spekulasi mengenai PU Azman. "Segmen itu memang kita beri laluan kepada ustaz atau ustazah berkaliber untuk menjawab sebarang soalan atau kemusykilan berkaitan keagamaan dalam kalangan pendengar. "Jadi kita tetap teruskan dan mengundang beberapa tetamu jemputan supaya setiap pagi Jumaat pendengar mendapat manfaat daripada perkongsian pendakwah yang diundang ke konti radio. "Minggu ini kita ada ustazah Asni Mansor, minggu depan mungkin ada ustaz atau ustazah lain untuk membantu masalah pendengar tentang agama Islam," ujarnya. Mengenai ketiadaan PU Azman mengendalikan segmen itu, DJ lin berkata pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI