suria

Roslan Shah mohon maaf kepada Jamal Abdillah, mahu jiwa tenang di Makkah

Lupakan sengketa, Roslan harap dapat bertemu Jamal.

ENGGAN memanjangkan perselisihan faham yang berlaku sebelum ini, pengacara Roslan Shah berlapang dada memohon maaf dan memaafkan penyanyi Datuk Jamal Abdillah.

Roslan yang bakal berangkat ke tanah suci Makkah bagi mengerjakan ibadah umrah pada Selasa berharap jiwanya akan lebih tenang dan boleh memberi fokus kepada urusan ibadah di sana.

"Saya tidak mahu panjangkan cerita ini. Saya mohon maaf kepada Datuk Jamal atas apa yang telah berlaku sebelum ini. Diharapkan segala kekeliruan dapat diselesaikan.

roslan shah 1

Roslan mahu lapangkan dada sebelum ke Makkah.

"Orang juga asyik bertanya tentang hal ini, jadi saya tidak mahu jiwa tak tenang apabila berada di Makkah nanti.

"Eloklah kita saling bermaafan. Apa yang berlaku jadi pengajaran untuk saya menjadi lebih baik selepas ini," katanya kepada mStar.

Roslan bagaimanapun belum menghubungi Jamal secara peribadi bagi menyampaikan hasrat permohonan maafnya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan masalah saya Roslan Shah kena bayar ganti rugi” - Jamal Abdillah tak pernah tanda tangan sebarang perjanjian ke Singapura

ARTIKEL BERKAITAN: Jamal Abdillah tak muncul di expo Singapura, Roslan Shah terpaksa bayar ganti rugi RM33,000

Dia berharap akan dapat berjumpa penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu setelah kembali dari mengerjakan umrah nanti dan dapat berbual dengan lebih tenang.

"Beberapa hari ini saya sibuk menguruskan beberapa urusan. Jadi belum sempat untuk menghubungi atau berjumpa secara bersemuka dengan Jamal.

"Saya harap apabila pulang nanti, kami dapat duduk bersembang dengan lebih tenang dan baik," ujarnya.

Eloklah kita saling bermaafan. Apa yang berlaku jadi pengajaran untuk saya menjadi lebih baik selepas ini.

ROSLAN SHAH

PENGACARA

Perselisihan faham antara Roslan dan Jamal bermula apabila penyanyi itu dikatakan membatalkan kehadirannya di saat akhir dalam sebuah acara yang berlansung di Singapura baru-baru ini.

Roslan yang bertindak sebagai orang bertanggungjawab mengurusakna penampilan artis mendakwa dirinya terpaksa membayar ganti rugi berjumlah RM33,000 ekoran ketidakhadiran Jamal.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal oleh Jamal yang memberitahu tidak pernah memberi sebarang persetujuan untuk hadir ke Singapura.

roslan shah 3

Roslan sebelum ini mendakwa terpaksa bayar ganti rugi kepada penganjur.

Sementara itu Roslan yang pertama kali mengerjakan ibadah umrah ini berharap dapat memanfaatkan masa sebaik mungkin di sana bagi memohon segala doa yang dihajati.

"Semestinya saya mahu mohon doa supaya diampun segala dosa. Inilah peluang terbaik untuk saya betul-betul fokus kepada ibadah dan menginsafi diri.

"Saya juga akan doakan kesejahteraan dan dimurahkan rezeki buat semua orang yang mengenali," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain