PELAKON Zarina Zainuddin kesal apabila ada pihak tidak bertanggungjawab yang menyunting profil Wikipedia milik anak lelakinya, Azal Azrai dengan melabelnya sebagai gila. Zarina, 51, berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Azal kepadanya dengan menunjukkan tangkap layar paparan penghinaan terhadapnya. Pelakon itu memberitahu turut terkedu membaca kenyataan yang dibuat dan menegaskan Azal atau Muhammad Raizal Azrai, 26, seorang anak istimewa dan bukannya gila seperti ditulis dalam laman web tersebut. "Saya yang baca jadi terkedu sekejap, saya peluk Azal dan beritahu dia tidak gila. Azal dan abang, Azil anak istimewa. Anak ibu. Zarina kecewa dengan sikap individu yang tidak bertanggungjawab. "Biarlah orang nak kata apa, Allah ada. Kalau Azal sayang ibu, jangan sedih tau," tulisnya di Instagram. Menerusi suntingan maklumat dalam Wikipedia berkenaan, abang kembar Azal iaitu Muhammad Razil Azrai atau Azil turut mendapat pelbagai kata-kata hinaan. Pasangan kembar ini menghidap masalah autisme. ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Serba salah ketuk anak dengan senduk, Zarina Zainuddin menangis menyesal... doa minta Allah beri kekuatan ARTIKEL BERKAITAN: “Sungguh tidak sensitif” - Zarina Zainuddin murung seharian, menangis tonton video remaja persenda anak autisme Sementara itu, Zarina turut memuat naik video Azal yang menjelaskan dirinya bukan gila dan mempunyai tanggungjawab menjaga ibu dan abangnya. "Azal bukan orang gila, Azal jaga ibu dan abang Azil," katanya. Rata-rata netizen meninggalkan komen tidak bersetuju dengan perbuatan keji individu tidak bertanggungjawab ini. Malah, rakan selebriti turut dilihat memberi sokongan emosi buat Zarina dan anak-anaknya. Antara rakan selebriti yang memberikan semangat. "Allahuakbar, siapalah yang tergamak hati cakap macam tu? Habis hilang pahala korang yang melontarkan kata-kata kesat yang tidak punya hati. "Azal anak baik. Aku sedih lihat Azal dibuli macam tu. "Ini sangat teruk, Kak Ini repost dan cari orang yang buat ni sampai dapat! "Segala info wikipedia atau google kebanyakannya salah. Tak sangka ini yang paling jahat. Kak Ina sayang Azal. Sabar tau. Semoga kita dapat pelaku sebenar. "Anak syurga Allah. Semoga akak kuat, kami semua sayang akak," tulis rakan selebriti. Dalam pada itu, tinjauan mStar mendapati suntingan maklumat tentang Azil Azrai di wikipedia telah pun ditukar. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI