suria

Syamsul Yusof tak kecil hati, yakin prekuel Mat Kilau lebih baik di tangan pengarah lain 

Syamsul doakan kejayaan untuk prekuel seperti mana Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

PENGARAH Syamsul Yusof tidak berkecil hati apabila namanya tidak tersenarai untuk menerajui penerbitan filem prekuel Mat Kilau yang sedang dalam perancangan.

Syamsul, 38, sebaliknya memberitahu sejak awal dia sudah mengetahui mengenai perkara tersebut dan melihat ia sebagai langkah bijak yang dibuat pihak penerbit Studio Kembara Sdn Bhd.

"Tidak kecil hati, saya percaya rezeki Allah malah saya amat bersyukur dengan kejayaan Mat Kilau sebagai filem nombor satu Malaysia mengatasi kutipan karya Hollywood yang mencecah hampir RM100 juta.

Syamsul harap filem prekuel Mat Kilau bawa kelainan.

"Saya dah tahu benda ini, ada ura-ura. Pada saya, ini satu langkah yang baik juga sebenarnya sebab kita tahu ada ramai lagi pengarah di Malaysia berpotensi yang belum dapat peluang mengarahkan filem epik.

"Pada saya langkah mengambil pengarah lain itu dapat memberi kelainan pada filem itu nanti kerana setiap orang ada cara dan gayanya tersendiri," katanya kepada mStar.

Terdahulu, penerbit Studio Kembara, Rahman Md Deli memaklumkan pihaknya sedang dalam proses menerbitkan prekuel filem tersebut namun ia tidak melibatkan Syamsul dan dua pelakon utamanya, Datuk Adi Putra dan Beto Kusyairi.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Filem prekuel ‘Mat Kilau’ dalam perancangan, tapi tanpa Syamsul Yusof dan Adi Putra

ARTIKEL BERKAITAN: Syamsul Yusof anggap komen negatif lumrah pembikinan filem, gembira ‘Mat Kilau’ trending di Netflix

Kata Rahman, pihaknya ingin memberi peluang kepada pengarah lain selain watak Adi dan Beto masih belum wujud dalam prekuel naskhah berkenaan.

Dalam pada itu, Syamsul berpendapat bahawa ini merupakan langkah yang baik agar filem Malaysia lebih pelbagai dengan sentuhan pengarah berbeza.

Pengarah lain itu dapat beri kelainan pada filem itu kerana setiap orang ada cara tersendiri.

SYAMSUL YUSOF

PENGARAH

Malah besar harapannya agar filem itu nanti dapat lari daripada sentuhannya dan berdoa kejayaan untuk prekuel seperti mana Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan.

"Mungkin akan ada kekurangan kalau saya yang arahkan prekuel itu dan saya percaya pengarah baru nanti dapat memberi kelainan dari segi pengarahan dan penulisan," ujarnya.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia akan memberi fokus kepada karya terbaharunya iaitu The Original Gangster yang bakal memulakan penggambaran pada penghujung tahun hadapan.

Syamsul akan fokus pada filem terbaharunya.

Katanya, filem itu memerlukan fokus 200 peratus daripadanya apatah lagi ia bakal menjadi filem aksi moden termahal yang pernah diterbitkan di Malaysia.

"Semuanya telah disusun dan kita akan menjalani penggambaran tahun depan, saya boleh fokus kepada filem ini.

"Saya bersyukur dan berbangga dengan semua filem yang pernah saya arahkan sebelum ini dan saya akan terus berkarya degnan hasil lebih baik," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain