PLATFORM penstriman Viu bakal menayangkan sebuah lagi siri genre komedi romantik terbaharu berjudul Ijab Kabut yang mengangkat tema perkahwinan. Pengurus Viu Malaysia, Kingsley Warner berkata, Ijab Kabut bukan sahaja menghiburkan tetapi turut menggambarkan kisah pengantin yang terlalu ingin mengikut kehendaknya bagi merancang perkahwinan impian. "Saya percaya Viu-ers kami akan terhibur dengan drama bersiri terbaharu ini, terutamanya mereka yang pernah berpengalaman merancang perkahwinan sebelum ini. Barisan pelakon bersama pengarah dan penulis pada sidang media pelancaran drama berkenaan baru-baru ini. "Mereka akan dapat menghayati Ijab Kabut kerana drama ini bakal menerokai betapa kelam kabutnya kehidupan bakal pengantin sebelum majlis perkahwinan berlangsung," katanya. Drama bersiri Viu Original arahan Faliq Sharif ini menampilkan barisan pelakon hebat termasuklah Azira Shafinaz, Fadlan Hazim dan Iedil Dzhurie Alaudin. ARTIKEL BERKAITAN: Drama Sci-Fi dengan citarasa sitkom tempatan, siri Viu Original ‘AI.5YA’ bawa penonton selami sudut pandang sebuah robot ARTIKEL BERKAITAN: Diana Danielle terbawa-bawa watak Nadia di luar set penggambaran, ‘She Was Pretty’ versi Malaysia tambat hati penonton Ijab Kabut adalah hasil karya tulisan sekumpulan penulis diketuai Mamu Vies yang terkenal dengan drama bersiri Love in Lockdown dan Sihir yang ditayangkan tahun lalu. Dua episod drama ini sudah pun ditayangkan pada 13 Oktober lalu manakala dua episod berikutnya bakal menemui penonton menerusi platform berkenaan bermula 27 Oktober ini. Di antara Khai (Fadlan Hazim) dan Mat (Ideal Dzhurie Alaudin) siapakah yang berjaya menambat hati Deana (Azira Shafinaz). Ijab Kabut mengisahkan tentang Deana lakonan Azira Shafinaz, seorang penerbit muzik yang bercita-cita mahu merialisasikan majlis perkahwinan yang sempurna namun ia bertukar mimpi ngeri apabila tunangnya memutuskan hubungan mereka. Deana mengambil keputusan untuk tetap meneruskan perkahwinan yang sudah dirancang dengan mencari calon sebagai suaminya. Maka, bermulalah kisah komedi tentang bagaimana Deana berusaha mencari pengganti sempurna untuk majlis perkahwinan impiannya tersebut. Mohamad Syafiq dan Farah Nadhirah memenangi peraduan media sosial #KisahIjabKabutKu. Tambah 'kabut' lagi, dua calon sukarela yang ingin menjadi suaminya adalah perancang majlis perkahwinan Deana iaitu Khai (Fadlan Hazim) dan pekerjanya, Mat (Iedil Dzhurie Alaudin) yang bercita-cita menjadi seorang pemuzik. Sementara itu, ketika sidang media pelancaran drama berkenaan, sebuah majlis resepsi turut dianjurkan bagi pasangan pengantin yang memenangi peraduan media sosial #KisahIjabKabutKu di Royale Chulan Kuala Lumpur. Pasangan suami isteri, Mohamad Syafiq Khor Mohd Kamal Khor, 27, dan Farah Nadhirah Muhammad Khairun, 28, yang bernikah pada tahun 2020 diraikan dalam sebuah majlis impian yang meriah. Mana tidaknya, peraduan kerjasama Viu selaku perkihdmatan penstriman video OTT pan-serantau terkemuka (PCCW) dan Reka Teemor itu menawarkan hadiah pakej majlis perkahwinan bernilai RM350,000. Majlis perkahwinan indah daripada Reka Teemor cukup menawan. Tidak cukup dengan itu, pasangan mempelai turut mengenakan busana rekaan pereka fesyen, Amaze malah majlis itu turut diserikan dengan persembahan daripada Nabil Zamanhuri dan Iedil Dzuhrie Alaudin. Ekoran bernikah dalam tempoh pandemik, pasangan itu hanya mengadakan majlis secara kecil-kecilan dan tidak berkesempatan diraikan dalam majlis kenduri yang besar. Viu-ers dapat menonton siri Ijab Kabut, setiap hari Khamis, pukul 12 tengah hari untuk mengikut kisah bakal pengantin ini dalam cubaan mendapat majlis perkahwinan sempurnanya di aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, Galeri Aplikasi Huawei dan TV pintar terpilih, serta laman web www.viu.com. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI