PRESIDEN Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi menolak untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mewakili parti Barisan Nasional (BN) sekiranya dia diberi peluang berbuat demikian. Zed atau Rozaidi Abdul Jamil, 42, berkata, selain belum layak, tugas sebagai presiden Seniman juga sudah cukup merumitkan apatah lagi jika dia bergiat aktif sebagai ahli politik. "Cukuplah sekadar saya pegang jawatan presiden Seniman... ada banyak perkara yang saya perlu lakukan untuk menjaga semua ahli-ahli persatuan. "Bayangkan nak jaga ahli seramai 7,000 orang ini pun dah cukup pening, apatah lagi kalau nak menjaga satu kawasan besar jika menjadi ahli politik," katanya kepada mStar. Zed berkongsi ketika ditemui baru-baru ini. Zed yang juga Ahli Lembaga Pengarah di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berkata, dia lebih selepas membantu kempen daripada bertanding sebagai calon. Kata Zed, apa paling penting adalah dia menyokong perjuangan parti selain memastikan kestabilan ekonomi negara kembali pulih selepas mengharungi pandemik Covid-19. ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak mungkin ke Penjara Sungai Buloh” - Selepas 2 tahun, Zed Zaidi dedah bebas tuduhan sebar berita palsu ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 2 tahun industri seni lumpuh, bajet RM177 juta daripada kerajaan bagai kejutan "Cukuplah kalau bantu apa yang patut sebagai sokongan kepada perjuangan parti," ujarnya. Dalam pada itu, Zed berkata, sebagai rakyat Malaysia sudah tentunya dia ingin menyumbang sesuatu kepada masyarakat tetapi bukan sebagai ahli politik. Sebaliknya kata pelakon itu, dia lebih suka melibatkan diri dalam Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu golongan memerlukan. Ramai selebriti sudah pun menyertai politik yang menyandang jawatan termasuklah Dira Abu Zahar, Anne Ngasri, Datuk Afdlin Shauki, Hans Isaac dan ramai lagi. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI