suria

Farid Kamil sokong Anwar Ibrahim jadi PM ke-10, netizen berbalah siapa paling layak... “Tiba waktunya, jangan lupa mengundi”

Pertemuan Anwar dan Farid di pejabat Ketua Pembangkang itu baru-baru ini.

KENYATAAN secara terbuka pelakon dan pengarah Farid Kamil yang menyatakan sokongan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri ke-10 mendapat perhatian pengikutnya.

Tidak hanya itu, Farid, 39, turut berkongsi satu hantaran video pendek dengan tajuk 'lima sebab Anwar Ibrahim layak jadi perdana menteri ke-10' yang antara lain menyenaraikan pencapaian Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sepanjang kariernya memegang jawatan menteri kewangan dan timbalan perdana menteri.

Antaranya adalah anugerah Menteri Kewangan Terbaik Dunia pada 1993, Menteri Kewangan Terbaik Asia (1996) dan dilihat sebagai pemimpin anti rasuah.

"Saya sokong Anwar jadi PM. Ini kalilah!," tulisnya pada bahagian kapsyen video berkenaan di Instagram.

Farid Kamil

Farid menyokong sekiranya Anwar menjadi perdana menteri.

Terdahulu, Anwar turut berkongsi foto kunjungan Farid di pejabatnya pada Selasa lalu dengan memperlihatkan kedua-dua mereka bersalaman dan tersenyum.

Anwar berkata, pertemuan itu membicarkan soal seni dan budaya selain mengenai keadaan saat ini dan masa depan industri perfileman negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Impian Farid Kamil terbit filem sendiri terlaksana, ‘Remp-it 2’ buah tangan pertama selepas 16 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: “Aku bukan kafir” - Aaron Aziz jawab komen ukir tatu sementara di leher

"Pagi tadi saya terima kunjungan seniman Farida Kamil di pejabat. Kami berbicara panjang soal seni dan budaya.

"Selain mengenai keadaan saat ini dan masa depan industri perfileman negara. Sempoi baq hang!," tulis Anwar.

Bagaimanapun, keterbukaan suami kepada Diana Danielle itu mendapat reaksi bercampur-baur dalam kalangan pengikutnya sehinggakan ruangan komen di dua hantaran berkaitan Anwar bertukar menjadi medan 'perang'.

Saya sokong Anwar jadi PM. Ini kalilah!

FARID KAMIL

PELAKON/PENGARAH

Ada berpendapat Anwar selayaknya menjadi perdana menteri kerana kredibilitinya sebagai seorang pemimpin manakala ada pula beranggapan posisi itu sepatutnya menjadi milik orang lain.

Malah ada pula berpandangan pelakon filem Remp-it itu tidak perlu bersuara soal politik dan hanya perlu fokus kepada kariernya sebagai selebriti.

"Ini pendapat dan Instagram Farid. Hormatlah... masing-masing ada pendapat, jauhi kecam. Ni dah masuk tahun 2022!

"Setiap orang ada pandangan dan pilihan tersendiri. Jangan hanya kerana anda tidak suka dengan pilihan orang lain, kita kena ikut pula.

"Paling penting, tiba waktunya, jangan lupa mengundi. Setiap undi dapat menentukan masa depan negara dan anak bangsa kita," tulis netizen.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), Farid pernah menyatakan sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain