suria

Alumni MRSM anjur festival muzik di Axiata Arena, peluang tonton nama besar bidang korporat buat ‘show’

Alumni MRSM bergabung menjayakan MRSM Music Fest.

ALUMNI Anak Sains Mara (ANSARA) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) buat julung kalinya bakal menanjurkan sebuah konsert berskala mega pada 29 Oktober ini.

Konsert dikenali sebagai MRSM Musicfest 2022 itu dijangka bakal menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Penerbit konsert berkenaan, Mohamad Fadzil Shari berkata, pihaknya membuat perancangan mengadakan konsert tersebut sejak April lalu bersempena meraikan ulan tahun ke-50 tahun penubuhan MRSM.

"Tahun ini genap 50 tahun MRSM yang pertama di Seremban yang memulakan pengajian pada 1972 dan kini berkembang kepada 54 buah termasuk di Sabah dan Sarawak.

pix 2

Antara alumni yang bergabung dan mengadakan persembahan.

"Sempena itu juga, kumpulan alumni memutuskan untuk mengadakan pertemuan terbesar dalam kalangan bekas pelajar dengan diiringi konsert, aktiviti sampingan yang lain," katanya.

Kata Mohamad Fadzil, pihak jawatankuasa tidak mengambil masa panjang merancang mengadakan festival muik tersebut kerana mendapat sokongan padu dalam kalangan ahli walaupun kebanyakan daripada mereka terdiri dalam kalangan profesional dan ahli akademik.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiket pernah ‘sold out’ dalam tempoh 4 minit, Kugiran Masdo kembali ke Singapura ubati kekecewaan peminat

ARTIKEL BERKAITAN: Ezad Lazim sertai konsert jelajah Exists 2023, Singapura bakal jadi lokasi pertama hibur peminat

Festival ini juga katanya akan mengabungkan persatuan bekas pelajar, pelajar MRSM, Pelajar Kolej Profesional Mara dan Pelajar Kolej Mara di atas pentas sama namun mempersembahkan kepelbagaian genre muzik.

"Menariknya walaupun tarikannya kepada acara pentas dan muzik namun sepanjang festival berlangsung pihak penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti sampingan untuk memeriahkan acara sepanjang hari yang bermula seawal 7 pagi.

"Kami mahukan hiburan yang terkawal untuk mengimbau nostalgia, keseronokan dan catatan suka-duka di zaman bergelar pelajar.

"Kepada Alumni MRSM sama ada menjadi ahli atau sebaliknya, ambillah peluang ini bertemu semula dengan rakan-rakan lama untuk bertanya khabar dengan mengajak mereka mengadakan reunion pada tarikh dan lokasi yang sama,” katanya.

Lebih daripada itu ujarnya, MRSM Music Festival bukan hiburan semata-mata kerana padat dengan pelbagai aktiviti yang akan berlansung sejak awal pagi hingga ke malam.

"Seawal pukul 7 pagi, kami akan memulakan acara dengan aktiviti larian santai di sekitar Stadium Bukit Jalil dan Axiata Arena. Aktiviti larian santai ini terbuka kepada semua dan tidak terhad kepada alumni serta pelajar MRSM sahaja.

"Pada masa sama, lebih 300 peniaga yang terdiri daripada alumni MRSM terlibat menjayakan ekspo jualan yang akan menjual makanan, minuman, pakaian dan barangan lain," katanya.

Selain itu, program itu akan mengadakan pelbagai pertandingan pentas seperti MRSM Got Talent dalam kalangan pelajar MRSM dan Kolej Mara yang menawarkan hadiah menarik kepada pemenang.

Acara kemuncaknya, sebuah konsert istimewa melibatkan barisan alumni MRSM memainkan lebih 20 buah lagi yang turut terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat-syarikat gergasi selain sketsa muzikal.

"Apa yang menggembirakan lebih 70 peratus daripada 5,000 tiket yang disasarkan sudah pun habis terjual sejak dilancarkan pada penghujung September lalu.

"Sekiranya mendapat sambutan menggalakkan terutama dari segi tajaan, kami merancang untuk menjadikan festival seumpama ini sebagai acara tahunan atau dwitahunan pada masa akan datang," ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket konsert MRSM Musik Festival boleh melayari laman web www.myansara.org atau www.ticket2u.com.my atau secara walk in pada 29 Oktober.

Tiket dijual pada harga RM60 bagi mereka berumur 18 tahun ke atas, RM30 (10 hingga 17 tahun) dan masuk percuma bagi kanak-kanak di bawah 10 tahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain