suria

Fauziah Nawi dedah kereta terbakar 4 tahun lalu, pernah masuk cabutan bertuah harap menang kenderaan

Fauziah Nawi bergambar bersama cucu-cucunya.

PELAKON Fauziah Nawi mendedahkan sudah empat tahun dia menggunakan pengangkutan awam atau bantuan ahli keluarga untuk ke lokasi penggambaran selepas kenderaan miliknya terbakar.

Fauziah, 69, berkata, kereta jenis Proton Waja itu terbakar di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur akibat mengalami masalah fius dan sejak itu dia tidak membeli kenderaan baharu.

"Ketika itu, kereta berkenaan dipakai oleh Allahyarham anak saya iaitu Pit kerana keretanya rosak.

"Hendak dijadikan cerita, kereta itu dipinjamkan kepada mak mentuanya sebelum ia terbakar di Jalan Sultan Islam akibat masalah fius," katanya kepada mStar.

fauziah1 - 1

Fauziah Nawi terima kejutan di ASA22.

Fauziah berkata demikian pada sidang media Anugerah Seri Angkasa 2022 (ASA2022) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya (PICC) pada malam Ahad.

Pada malam kemuncak anugerah berkenaan, Fauziah diumumkan sebagai penerima trofi Tokoh Seri Angkasa 2022 dan dikejutkan dengan hadiah sebuah kenderaan MPV Mitsubishi Xpander yang berharga RM100,000.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya memang tiada kereta, Allah makbulkan doa saya" - Fauziah Nawi Tokoh Seri Angkasa ASA2022, dikejutkan hadiah MPV Mitsubishi Xpander

ARTIKEL BERKAITAN: Noorkhiriah rangkul anugerah Pelakon Komedi TV Terbaik di ASA2022... "Tak sangka sebab ramai pesaing hebat!"

Pelakon veteran itu dalam ucapannya menyifatkan hadiah tersebut sebagai doa dimakbulkan Allah kerana memang tidak mempunyai kenderaan.

Selain kereta, Fauziah turut membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 berserta trofi.

Dalam pada itu, pelakon veteran itu menjelaskan dia tidak membeli kereta baharu selepas kejadian tersebut kerana pada usianya sekarang sukar untuk mendapatkan pinjaman bank.

Malah katanya, dia turut mencuba nasib dengan menyertai peraduan cabutan bertuah di program Ekspresi@Finas pada 23 Oktober lalu.

Fauziah Nawi terima anugerah Tokoh Seri Angkasa di ASA22.

Fauziah bersama trofi kemenangannya.

"Baru-baru ini saya ada berkunjung ke acara yang dianjurkan Finas dan kebetulan mereka menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta.

"Saya beli barangan bernilai RM35 untuk melayakkan diri dalam cabutan bertuah berkenaan namun akur tiada rezeki ketika itu.

"Hendak beli kereta baru memang susah apatah lagi pada usia sekarang mana ada bank yang mahu beri pinjaman dan terpaksa menggunakan Grab untuk ke mana-mana," ujarnya.

Sementara itu, Fauziah berkata, dengan kenderaan baharu itu akan memudahkan urusannya ke tempat kerja selain melakukan pelbagai urusan lain.

"Dengan hadiah yang diterima ini, Insya Allah ramai yang boleh memandu kereta saya malah cucu pun sudah pandai memandu.

"Alhamdulillah banyak perkara baik yang sering berlaku dan setiap apa yang saya mahu pasti Allah hantar. Namun kemenangan kereta ini memang saya benar-benar tak sangka," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain