suria

Netizen ikut tercungap-cungap tengok Alif Satar selesaikan ujian ECG, persiapan awal sertai Ironman kali kedua

Alif Satar buat pemeriksaan ECG stress echocafrdiogram untuk Ironman 2022.

PENYANYI dan pelakon Alif Satar bimbang keadaan kesihatannya tidak berada di tahap terbaik apabila berkongsi melakukan ujian elektrokardiogram atau ECG di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

Alif, 32, berkata, pemeriksaan itu dilakukan sebagai persediaan awal bagi menyertai pertandingan Ironman Malaysia buat kali kedua pada 5 November 2022.

Menerusi perkongsian video ujian berkenaan di Instagram miliknya, Alif kelihatan tercungap-cungap untuk menghabiskan larian di atas treadmill namun berjaya menyelesaikannya sehingga tahap kelajuan peringkat lapan.

Badannya juga disambungkan dengan beberapa wayar bagi mendapat bacaan tepat jantung dalam memastikan organ itu berfungsi dengan baik dan tiada masalah.

Alif Satar buat pemeriksaan ECG di IJN.

"Mintak nyawa! Level tujuh nak ke level lapan dah pancit... memang cuak nak buat ECG di Institut Jantung Negara tapi semuanya berjalan lancar," katanya.

Dalam pada itu, Alif memaklumkan dia perlu membuat persiapan secukupnya untuk menyertai cabaran Ironman itu nanti.

"Saya memang nak betul-betul pastikan 'enjin' bersedia untuk Ironman," katanya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: “Ingatkan Segambut sahaja banjir” - Alif Satar kongsi jalan dinaiki air ketika bercuti di Exeter, England

ARTIKEL BERKAITAN: Ambil masa 15 jam, Alif Satar berjaya tamatkan cabaran Ironman - “Perkara gila yang saya pernah lakukan”

Untuk rekod, Alif pernah menyertai pertandingan Ironman Langkawi pada 2019 dan berjaya menamatkan cabaran tersebut dalam tempoh 15 jam 5 minit dan 49 saat.

Tidak hanya itu, penyanyi itu turut berpesan kepada pengikutnya agar melakukan pemeriksaan kesihatan lengkap sebelum bergiat aktif dalam aktiviti lasak dan senaman.

"Korang yang baru nak mula bersenam pun Alif sarankan buat pemeriksaan penuh," ujarnya.

Alif Satar pernah sertai Ironman pada 2019.

Pengikut Alif turut menyatakan rasa kagum dengan persiapannya menjelang pertandingan berkenaan malah ada tertarik untuk melakukan pemeriksaan serupa.

"Aku yang tengok ini pun rasa tercungap-cungap, persiapan yang bagus Alif.

"Rasa nak tolong hulur air tengok Alif berlari. Good luck untuk Ironman nanti. Macam mana nak buat pemeriksaan ini?

"Takut tengok wayar itu, saya pula yang tumpang tertekan dan cuak tengok Alif buat pemeriksaan ini," komen netizen.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain