suria

Awesome TV dakwa tak pernah gagal bayar produser, mahu saman A. Aida

Adam Ilyas berkata tuduhan A. Aida itu palsu kerana pihaknya tidak pernah gagal melunaskan pembayaran.

KEMELUT membabitkan penerbit Datuk A. Aida dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Awesome TV, Datuk Adam Ilyas semakin berpanjangan dan kini memasuki episod baharu.

Menerusi kenyataan media yang dihantar kepada mStar, Adam berpendapat A. Aida mempergunakan kedudukannya sebagai ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan sengaja menjatuhkan reputasi Awesome TV yang sememangnya mempunyai hubungan baik dengan penggiat seni.

Adam juga menegaskan tuduhan yang dilemparkan oleh penerbit itu terhadap Awesome TV sangat berat dan tidak berasas.

Datuk Adam Ilyas menegaskan tuduhan yang dilemparkan tidak berasas.

"Tindakan beliau berjumpa dengan Pengerusi Finas mengenai perkara ini dilihat berniat jahat dan berunsur fitnah serta menjatuhkan reputasi Awesome TV yang hubungan sedia ada dengan para penggiat seni.

"Tuduhan yang dibuat ini dilihat amat berat terutamanya apabila kami di Awesome TV merupakan salah satu platform utama penggiat seni untuk berkongsi hasil kerja mereka dan dijadikan salah satu medan mencari rezeki masing-masing. Kami turut merasakan bahawa A. Aida telah mempergunakan kedudukannya sebagai ahli Lembaga Pengarah FINAS dan melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas ke atas kami," katanya.

Dalam pada itu, Adam berkata tuduhan A. Aida itu palsu kerana pihaknya tidak pernah gagal melunaskan sebarang pembayaran terhadap penggiat seni.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu tak bayar hutang produser, Finas akan jumpa Awesome TV mahu selesai masalah

ARTIKEL BERKAITAN: CEO Awesome TV berdepan saman... “Jangan sibuk jaga hal orang, bayar dulu hutang produser” – A. Aida

Bagi mengukuhkan perkara itu, Awesome TV juga telah membuat semakan lanjut untuk meneliti tentang dakwaan yang telah dilemparkan itu.

"Tuduhan yang dibuat berkaitan isu pembayaran ini adalah palsu dan tidak benar sama sekali kerana mengikut rekod kewangan yang dikemukakan oleh bahagian akaun syarikat ke atas rumah-rumah produksi yang pernah menerbitkan karya kreatif dan disiarkan di platform kami, Awesome TV tidak pernah gagal melunaskan sebarang pembayaran secara progresif mengikut faktor-faktor spesifik dengan setiap vendor kami.

"Untuk mengesahkan perkara ini, kami juga sudah membuat penelitian lanjut dan semakan silang secara menyeluruh ke atas rekod kewangan syarikat dan dapat dilihat dengan jelas pembayaran untuk setiap karya yang diterbitkan," katanya lagi.

Kami dengan ini menidakkan sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat.

Datuk Adam Ilyas

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Awesome TV

Bagi menyangkal dakwaan tersebut, pihak Awesome TV bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dengan isu ini kerana berpendapat bahawa tuduhan yang dilemparkan itu telah mencemarkan nama baik dan juga reputasi mereka.

"Kami dengan ini menidakkan sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat di dalam perjumpaan A. Aida bersama Pengerusi Finas tempoh hari, yang mana ia dilihat tidak berasas dan dibuat atas unsur-unsur hasutan A. Aida yang dirasakan mempunyai niat jahat terhadap kami.

"Justeru, pasukan undang-undang dan firma guaman kami kini dalam proses meneliti perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang kepada yang terlibat.

Penemuan Finas bersama A.Aida.

"Kami memandang serius spekulasi tidak berasas yang ditimbulkan oleh A. Aida ini kerana ia telah mencemarkan nama baik dan reputasi pihak kami selaku stesen televisyen. Isu berbangkit yang diperdebatkan sebelum ini adalah perihal paras rupa dan bakat penggiat seni. Tetapi A. Aida sengaja mengaburi mata umum dengan hal-hal yang tidak berkenaan khususnya melibatkan urusan dalaman Awesome TV," ujarnya.

Sebelum ini, Adam Ilyas mengulas kenyataan A. Aida mengenai rupa paras yang cantik dan kacak lebih menjadi keutamaan berbanding dengan bakat.

Adam juga mendakwa A. Aida tidak layak menggalas peranan sebagai ahli perbadanan Finas selepas dia melontarkan pandangan hanya memilih pelakon kacak dan cantik untuk berlakon bawah produksi keluaran syarikatnya.

Awesome TV bakal ambil tindakan undang-undang.

Bagaimanapun kenyataan Adam itu mengundang rasa kurang senang A. Aida yang memaklumkan bakal mengambil tindakan saman kerana menghasut Finas supaya mengambil tindakan tegas menggugurkannya sebagai ahli lembaga agensi itu.

Kata A. Aida atau Zaidah Awang berkata, pemilik stesen televisyen itu tidak berhak untuk mempersoalkan pelantikannya kerana ia telah dipersetujui oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Malah, A. Aida meminta Adam menyelesaikan dahulu masalah yang dihadapi dengan produser drama tempatan terutamanya mengenai pembayaran kandungan yang masih belum diselesaikan oleh stesen berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain