suria

[V] Fakhriz V.E. tak tenang buat persembahan di pentas GV9, bayi perempuan 2 bulan keracunan makanan akibat pencemaran air

AHLI kumpulan V.E. iaitu Fakhriz cemas apabila bayi perempuannya yang baharu berusia dua bulan mengalami keracunan makanan sehingga terpaksa ditahan di Hospital Shah Alam sejak Isnin lalu.

Fakhriz berkata, anaknya, Jauza Hanania pada awalnya hanya mengalami muntah dan cirit birit namun selepas keadaannya bertambah teruk dia dikejarkan ke hospital.

"Pada awalnya dia hanya mengalami cirit birit dan muntah tetapi tidak serius, bagaimanapun apabila muntahnya bertukar warna seperti najis pada Isnin lalu membuatkan saya bimbang dan terus membawanya ke hospital.

"Masa sampai di hospital dia sudah mengalami dehidrasi dan perlu dimasukkan air selain doktor memulakan rawatan antibiotik terhadapnya," katanya kepada mStar.

Fakhriz berkongsi mengenai anaknya itu ketika ditemui selepas konsert minggu kelapan program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada malam Ahad.

ASTRO_9992

Fakhriz memberitahu anak ketiganya itu dimasukkan ke hospital sejak Isnin lalu.

Dalam pada itu, Fakhriz memberitahu apa membuatkan dia lebih bimbang, Jauza mula tidak memberi respons selain enggan minum susu yang diberikan selain matanya kelihatan kuyu dan lemah.

Katanya, doktor memberitahu akibat keracunan makanan tersebut, bahagian usus anaknya mengalami jangkitan kuman selain kandungan gula dalam darah turut merosot.

ARTIKEL BERKAITAN: Dina Nadzir peserta tercorot, GV9 buat kejutan lagi tiada penyingkiran

ARTIKEL BERKAITAN: Gegar Vaganza musim ke-9 tambah seminggu lagi, final 27 November 2022

"Tapi selepas diberi minum susu melalui tiub, Alhamdulillah dia mula beri tindak balas yang baik," ujarnya.

Fakhriz menambah, doktor yang merawat anaknya memaklumkan keracunan makanan itu berpunca daripada pencemaran air yang digunakan untuk membancuh susu.

"Doktor kata berpunca daripada air dan banyak kes macam ini dekat hospital dan dia turut menyarankan agar air yang digunakan untuk membancuh susu sebaiknya direbus terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, Fakhriz mengakui disebabkan bimbang tentang kesihatan anak kesayangannya, tumpuan terhadap persembahan di GV9 turut terganggu.

353523

Keadaan Jauza menunjukkan perkembangan positif sejak dimasukkan ke hospital.

Namun dia menguatkan semangat apatah lagi mengenangkan isteri yang perlu menjaga anak ketiga mereka itu yang masih dirawat di Hospital Shah Alam.

"Isteri yang jaga daripada awal, berjaga malam. Dia yang menghadap lagilah terasa. Sakit bersalin pun tak hilang lagi.

"Saya pesan padanya apa pun jadi, baik atau buruk, kena reda," katanya.

Pun begitu, dia turut berterima kasih atas sokongan rakan-rakan V.E. yang memberi semangat kepadanya untuk meneruskan persembahan dengan baik.

Malah, pada persembahan lagu berjudul Rozana nyanyian asal Search, V.E. mendapat tempat kedua dengan markah sebanyak 80.40 peratus daripada juri profesional.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain