suria

Autisme tak halang Azal pegang watak hero, lakonan dalam ‘Kasih Dari Syurga’ dapat pujian penonton

Zarina gembira lakonan Azal dalam telefilem pertama mendapat pujian peminat.

MUHAMMAD Raizal Azrai atau Azal mungkin menghidap masalah autisme namun ia sedikit pun tidak menjadi batu penghalang untuk pemuda ini menggapai cita-cita sebagai pelakon.

Buktinya, Azal, 26, diberi kepercayaan memegang watak hero menerusi telefilem pertamanya yang berjudul Kasih Dari Syurga siaran di TV2.

Ibunya, Zarina atau Nur Zarina Mohd Zainuddin, 51, berkata, ia merupakan telefilem pertama lakonan Azal dan sangat gembira dengan kepercayaan diberikan pihak produksi terhadap anak kesayangannya itu.

Malah Zarina turut meminta peminat untuk sama-sama menyokong anaknya dengan menonton drama berkenaan.

Pengalaman pertama Azal menjadi hero dalam sebuah telefilem

"Semua peminat jangan lupa saksikan lakonan drama pertama Azal sebagai hero untuk drama ini," katanya.

Zarina berkongsi berita gembira berkenaan menerusi hantaran di Instagram dan turut memuat naik sedutan lakonan anaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau abang sayang ibu, jangan sedih tau” - Zarina Zainuddin kesal anak autisme dilabel gila

ARTIKEL BERKAITAN: “Sungguh tidak sensitif” - Zarina Zainuddin murung seharian, menangis tonton video remaja persenda anak autisme

Aktres tersebut turut berlakon sama dalam drama arahan Riza Baharuddin itu selain menampilkan barisan pelakon seperti Haeriyanto Hassan, Raja Azmi, Jasmin Hamid dan Meor Mohd.

Ia diterbitkan oleh syarikat milik Jasmin iaitu Ritma Perintis Sdn Bhd.

Sementara itu, peminat yang membanjiri ruang komen pada hantaran berkenaan turut meluahkan rasa bangga dan gembira dengan pencapaian Azal yang disifatkan sebagai luar biasa.

Azal dilihat sentiasa menemani Zarina ketika kerja

Malah rata-rata memuji lakonan Azal yang dilihat bersahaja dan layak diangkat sebagai hero telefilem berkenaan.

"Tahniah Azal! Pandai Azal berlakon dan memang berbakat. Zarina memang seorang ibu yang hebat.

"Lepas nampak unggahan ini saya terus tengok. Pandai betul Azal berlakon dan membuatkan drama ini jadi lebih seronok untuk ditonton. Tahniah buat Azal dan Zarina," antara komen pengikut Zarina di Instagram.

Kasih Dari Syurga mengisahkan tentang seorang anak yang ditinggalkan bapanya apabila mendapat tahu bahawa anak itu istimewa.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain