PENYANYI Zamani Slam dilaporkan sudah sedarkan diri selepas 48 jam berada di bawah pemantauan doktor selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang melengkung akibat penyakit skoliosis pada Isnin lalu. Isteri Zamani, Nur Juliana Abd Rani berkata, suaminya itu bakal dipindahkan ke wad biasa selepas diletakkan di bawah pemantauan rapi pihak hospital. "Syukur Alhamdulillah berkat doa semua, Zamani sekarang sudah sedar dan berada di bawah pemantauan doktor di hospital. Insya Allah dalam proses untuk dipindahkan ke wad biasa," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Juliana memaklumkan buat masa ini pihak keluarga enggan menerima sebarang kunjungan tetamu yang ingin menziarah Zamani, 51, di hospital dan berharap semua pihak faham akan permintaan itu. Zamani selamat menjalani pembedahan tulang belakang Isnin lalu. Juliana memberitahu dia sekeluarga menghargai semua yang mengambil berat tentang keadaan suaminya namun meminta kenalan memberi ruang untuk suaminya berehat memandangkan Zamani masih dalam keadaan lemah. "Seperti mana semua tahu pembedahan dijalankan adalah besar maka mengambil masa untuk pulih. Atas nasihat doktor Zamani perlu banyak berehat supaya rawatan pemulihan berjalan lancar. ARTIKEL BERKAITAN : Zamani selamat jalani pembedahan tulang belakang, isteri ucap terima kasih doa peminat ARTIKEL BERKAITAN : Selepas jumpa 3 pakar, Zamani lebih yakin jalani rawatan tulang belakang... Sebelum ini takut sebab dengar cakap-cakap orang! "Kami mohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang tetamu yang ingin melawat Zamani buat masa ini. Harap semua faham keadaan Zamani dan keluarga ketika ini. "Kamu ucapkan ribuan terima kasih untuk doa dan ucapan selamat daripada semua dan terus mendoakan agar Zamani segera sembuh dan kembali sihat," katanya. Untuk rekod, Zamani mula menghidap penyakit tersebut sejak 2015 dan keadaan dilihat semakin teruk apabia badannya tidak boleh berdiri tengak ekoran tulang belakangnya melengkung. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI