GARA-GARA perut kelihatan sedikit buncit semasa menjayakan satu persembahan pentas baru-baru ini, netizen seberang membuat spekulasi kononnya penyanyi Bunga Citra Lestari (BCL) kini sedang hamil. Tampil menafikan dakwaan tersebut, Bunga memberitahu perutnya kelihatan buncit kerana faktor usia dan pemakanan. Dalam masa sama penyanyi berusia 39 tahun ini juga mengakui terkesan apabila menjadi mangsa body shaming netizen itu. "Saya lebih sakit hati kerana menjadi mangsa body shaming... hey saya juga makan tahu tak?" katanya kepada mStar. Bunga ditemui semasa sidang media BCL Blossom Intimate Concert yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Rabu. BCL bakal mengadakan konsert di KL pada Januari depan. ARTIKEL BERKAITAN: Foto perut buncit Bunga Citra Lestari tersebar, peminat petik nama Aeril Noah ARTIKEL BERKAITAN: Dua tahun pemergian Ashraf Sinclair, Bunga Citra Lestari masih cuba biasakan diri Penyanyi Cinta Sejati ini juga sempat berseloroh sambil berdiri di hadapan media menunjukkan perutnya. "Perut saya tidaklah kempis. Biasalah perut mak-mak. Saya hanya manusia normal yang suka makan tengah malam. "Tambah pula usia saya juga bakal masuk 40 tahun. Mana mungkin bentuk badan saya seperti 20 tahun yang lalu," ujarnya. Sementara itu, Bunga berkata tiga tahun lalu dia masih mempunyai bentuk badan yang kurus walaupun mempunyai tabiat kuat makan. Namun, kini dia mula merasai perubahan pada tubuh apabila berat badannya mudah naik. "Saya berharap orang disekeliling lebih gembira melihat saya lebih sihat, segar. "Mungkin disebabkan fasa-fasa sedih yang saya lalui sudah beransur pulih, tapi sekarang jadi bualan ramai pula," katanya. Bunga tampil menafikan dakwaan netizen. Dalam perkembangan lain, Bunga bakal mengadakan konsert solonya yang pertama di Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary KLCC pada 27 Januari 2023. Sebelum berangkat ke Malaysia, Bunga memberitahu dia sempat melawat kubur arwah suaminya iaitu Allahyarham Ashraf Sinclair sempena memperingati hari ulang tahun perkahwinan mereka. Untuk info, Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada November 2008. Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Noah Sinclair yang kini sudah berusia 13 tahun. Pada 18 Februari 2020, Ashraf, 41, menghembuskan nafas terakhir di sebuah pusat perubatan di Jakarta, Indonesia kira-kira pukul 4 pagi kerana serangan jantung. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI